PKR akan meneruskan usahanya untuk membentuk kerajaan baharu dengan sokongan wakil rakyat yang bersamanya bagi mengembalikan semula mandat rakyat diberikan kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga berkata partinya menghormati pendirian Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tentang sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional.
“PKR mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat presiden Umno hari ini.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan ahli-ahli Parlimen yang mendukung cita-cita dan harapan yang sama, iaitu untuk memperbetul halatuju kepimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak Covid-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi, serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” kata ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu dalam kenyataan dikeluarkan, malam ini.
Awal hari ini, Zahid mendesak gencatan politik diadakan ketika negara sedang berdepan wabak Covid-19.
Katanya, Umno memutuskan untuk melakukan gencatan politik kerana rakyat teruk terjejas dengan wabak Covid-19 dan ekonomi merudum.
“Saya ingin menekankan pendirian Umno untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan,” katanya.
Tambah ahli Parlimen Bagan Datoh, Umno akan menyokong kerajaan PN memfokuskan agenda membantu rakyat.
Beliau turut mengarahkan semua menteri Umno untuk berhenti berpolitik dan memfokuskan kepada usaha membantu rakyat.
Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, bermakna kerajaan majoriti tipis dua kerusi Muhyiddin sudah tumbang.
Dilaporkan yang Zahid dan Umno mengalihkan sokongan mereka kepada Anwar, menyebabkan Muhyiddin hilang sokongan.
Ia dilaporkan berpunca daripada tindakan “buli” Bersatu diterajui Muhyiddin ke atas Umno sehingga mencetuskan kemarahan akar umbi.
Bagaimanapun, kenyataan Zahid hari ini menamatkan ketidaktentuan politik negara dan membolehkan kerajaan majoriti tipis Muhyiddin di Dewan Rakyat terus bertahan. – 21 Oktober, 2020.
Komen