Umno gesa gencatan politik 


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian itu dibuat berikutan keadaan negara yang berdepan pandemik Covid-19 serta keadaan ekonomi yang menjejaskan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2020.

UMNO menggesa gencatan politik daripada semua pemimpin parti seminggu selepas biro politik mengancam menarik balik sokongan ke atas kerajaan Perikatan Nasional. 

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata pendirian parti itu dibuat berikutan keadaan ekonomi merudum dan rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19. 

“Saya ingin menekankan pendirian Umno untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah ahli Parlimen Bagan Datoh, Umno akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional memfokuskan agenda membantu rakyat.

“Mendokong kerajaan Perikatan Nasional dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara menghadapi pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi,” kata Ahmad Zahid.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menggesa semua kepimpinan parti untuk bekerjasama dalam memastikan kestabilan negara.

“Semua pimpinan parti dalam Kabinet ketika ini memberi sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yag ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengarahkan semua menteri Umno untuk berhenti berpolitk dan memfokuskan kepada usaha membantu rakyat.

Ogos lalu Umno menawarkan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional secara rasmi dan ia diterima oleh parti itu. Namun keputusan oleh Umno dan PAS serta parti lain dalam gabungan itu pada Isnin tidak termasuk Bersatu.

Ini bermakna pada pilihan raya umum akan datang Bersatu akan bertanding sendiri dengan parti Perikatan Nasional lain.

Ia juga tidak jelas sama ada sekutu Umno Barisan Nasional seperti MCA dan MIC akan mengikut jejak langkah itu dan keluar daripada Perikatan Nasional.

Ketegangan antara Umno dan Bersatu semakin memuncak apabila Umno mempertimbangkan untuk menarik diri dari PN kecuali syarat kerjasama barunya dipenuhi.

Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Insight syarat itu termasuk rombakan kabinet yang mana portfolio lebih penting serta jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada pemimpin Umno.

Langkah ini susulan daripada Umno yang mengalah kepada Bersatu di Sabah dengan menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Hajiji Md Noor dan bukan kepada ketua Umno Sabah Bung Moktar. – 21 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen