Takde hasil ulas isu 'siapa Mahathir', kata M.Nasir


Amin Iskandar

M.Nasir enggan mengulas kontroversi “Siapa Mahathir” yang menyebabkan beliau digam daripada radio dan televisyen di zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Disember, 2017. 

KOMPOSER dan penyanyi terkemuka M.Nasir enggan mengulas kontroversi “Siapa Mahathir” yang menyebabkan beliau digam daripada radio dan televisyen di zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tak suka bincang isu ini. Tak mendatangkan hasil,” kata M.Nasir kepada pemberita di Matic di Kuala Lumpur hari ini selepas program “Magnum Opus 40 Tahun M Nasir Kembara ke Solo” apabila ditanya mengenai isu tersebut.

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad pada Mei 1996 diminta membuat latihan mendeklamasi puisi kerana tetamu kehormat pada Malam Puisi Utusan itu ialah Dr Mahathir, M.Nasir bertanya “...siapa Dr Mahathir?”

Ini menyebabkan timbalan menteri penerangan pada ketika itu Suleiman Mohamed mengeluarkan arahan melarang sebarang karya M.Nasir dikeudarakan kerana dianggap melampau dan kurang ajar terhadap Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri pada waktu tersebut.

Ekoran larangan itu, konsert yang sepatutnya berjalan di Kedah dan Selangor pada tahun berkenaan turut diharamkan penganjurannya.

M.Nasir yang bernaung di bawah syarikat rakaman BMG pada ketika itu kemudiannya menulis surat kepada Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan kedudukan sebenar. 

Sejak kebelakangan ini, muncul beberapa artis mula mengkritik dasar kerajaan Perdana Menteri Najib Razak.

Contohnya seperti Ratu Jazz Sheila Majid yang menulis di Twitter mendakwa ekonomi negara kini tersasar dari landasan dan rakyat kini terhimpit dengan beban hutang.

“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan kerja kurang. Rakyat Malaysia menjadi letih dan marah kerana diperas atas hutang yang kita tak buat.

“Hentikan buat alasan dan cari kesalahan. Fokus kepada kembalikan negara kita ke landasan sebenar! Mengecewakan,” kata Sheila yang mempunyai 214,000 pengikut di Twitter.

Kenyataan Shiela itu dikecam pemimpin kerajaan tetapi mendapat pujian Dr Mahathir yang kini pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Satu per satu ikon Malaysia bersuara demi masa depan negara. Dari Fathiah Latiff, Aznil Nawawi dan sekarang Sheila Majid.

“Anak muda khususnya kena berani ke hadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid,” kata Dr Mahathir. – 16 Disember, 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • buang masa je ulas pasal madey ni..si tua tak sedar diri..siapa yg menentang dia semua kena..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan