Dr Mahathir ucap terima kasih kepada Sheila Majid kerana bersuara


Dr Mahathir memuji tindakan Sheila Majid yang berani menyuarakan kebimbangan yang menimpa rakyat Malaysia di Twitter. – Gambar Twitter, 5 Disember, 2017.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada ratu jazz Sheila Majid kerana menyuarakan kebimbangan yang menimpa rakyat Malaysia di Twitter malam ini.

“Satu per satu ikon Malaysia bersuara demi masa depan negara. Dari Fathiah Latiff, Aznil Nawawi dan sekarang Sheila Majid.

“Anak muda khususnya kena berani ke hadapan. Masa depan terletak di tangan anda. Kalau bukan kita, siapa lagi? Terima kasih Sheila Majid.”

Walaupun Sheila tidak menyebut mana-mana parti politik, penyanyi tersohor itu menyuarakan kekecewaannya dengan beberapa isu.

Tengah hari tadi, Sheila menulis: “Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan kerja kurang. Rakyat Malaysia menjadi letih dan marah kerana diperas atas hutang yang kita tak buat.

“Hentikan buat alasan dan cari kesalahan. Fokus kepada kembalikan negara kita ke landasan sebenar! Mengecewakan,” kata Sheila yang mempunyai 214,000 pengikut di Twitter.

Penyanyi itu merupakan artis popular kedua menyuarakan isu semasa dalam masa kurang dari seminggu. Tweet itu di’tweet’ semula sebanyak 7,500 kali dan disukai 4,400 kali. Ia juga menerima 178 komen pada jam 9.30 malam ini.

Pada 1 Disember, pelakon popular Fathiah Latiff mempersoalkan cadangan mendakwa Dr Mahathir terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia pada 1980-an selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja dikeluarkan minggu lepas.

Dia juga mempersoalkan mengapa penyiasatan 1Malaysia Development Bhd tidak didedahkan kepada orang ramai.

“Gali cerita lama? Ok, mari kita bercakap tentang sejumlah wang yang masuk ke dalam akaun peribadi seseorang.

“Siasatan perlu dibuat dengan sewajarnya dan hasilnya harus didedahkan kepada orang ramai kerana ada soalan yang belum dijawab sepenuhnya. Setuju?” katanya di Twitter. – 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen