POLITIK Malaysia kini di persimpangan, tanpa gambaran jelas tentang masa depan.
Perkembangannya berubah dari hari ke hari, membayangkan kedudukan genting kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin selepas majoriti sokongannya dipertikaikan minggu lalu.
Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang menunggu untuk maju sekiranya membuktikan beliau ada sokongan dalam kalangan anggota Dewan Rakyat untuk jadi perdana menteri.
Namun jalannya tidak nampak mudah ketika veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan merancang sesuatu.
Di tengah-tengah percaturan ini, pemimpin Umno dikatakan sedia untuk mengubah status quo. Atau, betulkah begitu?
Kemelut pusingan baharu ini baru saja bermula, dan berikut mereka yang untung dan yang rugi – setakat ini.
Yang untung
Anwar Ibrahim
Tidak banyak pihak percaya pada Anwar apabila beliau mengumumkan pada 23 September lalu bahawa beliau ada majoriti di Dewan Rakyat. Namun pandangan itu sedikit sebanyak berubah selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.
Walaupun belum jelas apakah beliau akan jadi perdana menteri kesembilan, surat yang dikatakan daripadanya dan juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat Barisan Nasional Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong membayangkan Anwar sudah menjatuhkan Muhyiddin.
Apa yang berlaku sekarang, Anwar kini muncul semula selepas hilang peluang untuk maju sebagai perdana menteri selepas percaturan politik pada Februari lalu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Umno
Umno pernah berkuasa tetapi sekarang akan menghancurkan kekuasaan sekiranya ia menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin. Kalau ia kemudian mendukung Anwar, Umno akan jadi penentu kuasa.
Sesuatu yang agak memberangsangkan untuk sebuah parti yang dianggap sudah hancur selepas PRU14 setelah 15 ahli Parlimennya menyeberang masuk Bersatu.
Parti yang berdepan masalah dalaman dan pemimpin puak dijangka akan menentukan hala tujunya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijadual hari ini. Mesyuarat itu kini ditangguhkan sehingga selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan malam tadi.
Tengku Razaleigh Hamzah
Tidak banyak pihak yang memberi perhatian kepada ahli Parlimen veteran yang mewakili Gua Musang ini sehinggalah beliau muncul di tengah gelanggang selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.
Ada yang berpendapat Tengku Razaleigh, 83, akan jadi perdana menteri kesembilan. Ada juga yang percaya beliau akan menyertai kerajaan sebagai timbalan perdana menteri. Apa pun kerabat diraja Kelantan ini sekarang jadi relevan semula.
Yang rugi
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin tidak mengujakan banyak orang apabila dilihat cuba mengelak menyentuh kemelut politik yang timbul. Beliau memberi alasan sibuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi.
Sidang medianya pada hari Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah ruang terbaik untuk beliau mempertahankan kedudukannya, namun presiden Bersatu ini tidak berbuat demikian.
Sejak itu, Muhyiddin berusaha di balik tabir mengusahakan gencatan politik, namun beliau nampak jelas sudah hilang majoriti tipisnya.
Kalau sekali pun kekal sebagai perdana menteri selepas membuat janji baharu dengan Umno, kedudukannya goyah selagi tidak mempunyai majoriti yang kukuh.
Perikatan Nasional
Kemelut ini muncul ketika kerajaan sedang bersiap untuk membentangkan belanjawan tahunannya yang pertama dalam masa tiga minggu lagi.
Ketika banyak pihak tahu PN lemah dengan sokongan hanya 113 ahli Dewan Rakyat, ia tidak pernah nampak selemah ini.
PN tidak sepatutnya merencanakan rampasan kuasa politik di Sabah pada Julai lalu, yang mencetuskan pilihan raya negeri. Ia juga tidak sepatutnya mengambil jawatan ketua menteri daripada Umno selepas menang pilihan raya itu.

Muda
Sehingga ini tiada siapa tahu parti anak Muda yang diketuai oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini untuk apa ketika semua parti politik mempunyai sayap pemudanya sendiri.
Cubaan untuk gencatan politik ketika Anwar mengumumkan beliau ada sokongan yang cukup untuk jadi perdana menteri dan ketika kes Covid-19 meningkat dari hari ke hari tidak disambut baik oleh umum.
Selain beberapa aktivis muda bersamanya, Muda tampak seperti sebuah parti lama yang diuruskan oleh anak muda.
PAS
Walaupun ia parti Melayu yang kecil dalam kerajaan PN, PAS kini menikmati hidup di Putrajaya dengan jawatan menteri dan timbalan menteri, ada kereta Vellfire di Kedah dan mendapat gaji besar sebagai teraju syarikat berkaitan kerajaan.
Musuh lamanya Umno sudah jadi sahabat dan ia juga bernaung di bawah Muhyiddin.
Namun keadaan mula kusut apabila parti Islam itu memutuskan berada dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN gus, ketika Umno dengan jelas mengumumkan ia tidak akan menyertai PN.
Ini menyebabkan Umno mempersoalkan komitmen PAS dalam MN.
Sekiranya Muhyiddin jatuh nanti, yang paling rugi tentunya PAS.
Yang akan rugi
Rakyat Malaysia – yang terpaksa menelan sandiwara politik ketika perhatian utama sepatutnya bertumpu pada soal ekonomi dan pekerjaan. – 20 Oktober, 2020.
Komen