Pandangan saya tak berubah, kata Speaker Dewan Rakyat


Kamles Kumar

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata hanya kerajaan berkuasa membenarkan usul persendirian dibahaskan di Dewan Rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menegaskan pandangannya mengenai kedudukan speaker di Parlimen dalam soal urusan mesyuarat badan perundangan itu tidak pernah berubah walaupun selepas dilantik memegang jawatan tersebut.

Azhar menjelaskan hanya kerajaan yang ada kuasa untuk membenarkan usul persendirian dibahaskan di Dewan Rakyat, termasuk usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Azhar yang dilantik speaker pada Julai lalu menerangkan pandangannya selepas tular rakaman video tahun 2015 yang didakwa bercanggah dengan pandangannya sekarang.

“Tengok video itu balik. Ia menegaskan apa yang saya kata. Aturan urusan mesyuarat ditetapkan oleh kerajaan. Urusan kerajaan didahulukan di mana pun. Itu yang saya katakan.

“Di Malaysia, mengikut peraturan 14(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, seorang menteri mesti bangun untuk mengemukakan usul.

“Apa yang bercanggahnya yang orang persoalkan. Saya tidak pernah bercanggah,” kata Azhar ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Azhar ditanya kupasannya mengenai tugas speaker Dewan Rakyat dalam rakaman video yang tular hari ini. Rakaman itu dari program Art of the Matter terbitan InciteMyTV pada 2015.

Rakaman video itu muncul semula selepas surat balasan Azhar kepada Tengku Razaleigh Hamzah didedahkan kepada umum oleh pejabat ahli Parlimen Gua Musang itu minggu lalu.

Dalam surat menyurat mereka, Tengku Razaleigh bertanyakan status usul tidak percaya terhadap perdana menteri yang belum lagi didengar oleh Dewan Rakyat.

Menurut Azhar, beliau terikat kerana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan perlu diberi keutamaan berbanding usul persendirian.

Azhar kemudian mengeluarkan kenyataan media dua kali untuk menjelaskan pandangannya, termasuk memberikan contoh amalan di negara Komanwel yang lain. 

Azhar menjelaskan kepada The Malaysian Insight, seorang speaker tidak ada kuasa untuk menentukan apa yang masuk atau tidak masuk dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, usul tidak percaya terhadap perdana menteri akan disenarai di atas sekiranya kerajaan membenarkannya.

“Speaker tiada kuasa. Bagaimana ia disenarai di atas secara konvensyen? Apabila kerajaan bersetuju dengan permohonan pembangkang untuk memberi laluan kepada usul itu. Ini konvensyen di United Kingdom,” katanya.

Satu-satunya usul persendirian yang pernah dibahaskan di Dewan Rakyat ialah usul yang dikemukakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang pada 2017. Usul berkenaan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai RUU355.

Surat Tengku Razaleigh kepada Azhar dan jawapan beliau muncul ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dipercayai sudah hilang majoriti untuk terus kekal mentadbir di Putrajaya.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim minggu lalu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bahawa beliau mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan pentadbiran Muhyiddin.

Dalam suratnya, Tengku Razaleigh mahu usul tidak percaya terhadap Muhyiddin diputuskan oleh Dewan Rakyat dengan segera.

Sekurang-kurangnya 16 ahli Parlimen pembangkang juga mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk diangkat apabila Dewan Rakyat bersidang bermula 2 November.

Azhar dilantik menjadi speaker Dewan Rakyat pada Julai lalu. Beliau sebelum itu memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak September 2018, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum lebih kurang enam bulan sebelumnya. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Azhar menjelaskan hanya kerajaan yang ada kuasa untuk membenarkan usul persendirian dibahaskan di Dewan Rakyat, termasuk usul tidak percaya terhadap perdana menteri".

    Kalau macam itu, mustahil sekali untuk bentang usul tidak percaya, dan itu pula bererti tiada demokrasi di Parlimen tetapi "dictatorship" kerana tiada Perdana Menteri akan izinkan usul tidak percaya terhadapnya dibincangkan jika tidak pasti usul itu tidak akan diluluskan. Perdana Menteri dalam domokrasi tiada kuasa keatas Parlimen, tidak boleh memberi arahan kepada Parlimen.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan