YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dicurigai menyokong kerajaan Perikatan Nasional, dakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim yang juga ahli Parlimen Bagan mendakwa Azhar tidak membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana beliau mahu melindungi kerajaan.
“Dia jelas telah kompromi dalam peranannya yang sepatutnya bebas, tidak memihak dan berkecuali dengan apa yang jelas dilihat sebagai tindakan politik, demi menyelamatkan Kerajaan Persekutuan sekarang dengan alasan yang salah iaitu mengutamakan urusan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azhar memberi alasan itu dalam surat balasannya kepada Tengku Razaleigh Hamzah, yang didedahkan kepada umum oleh pejabat ahli Parlimen Gua Musang itu minggu lalu.
Dalam surat menyurat mereka, Tengku Razaleigh bertanyakan status usul tidak percaya terhadap perdana menteri yang belum lagi didengar oleh Dewan Rakyat.
Menurut Azhar, beliau terikat kerana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan perlu diberi keutamaan berbanding usul persendirian.
Azhar kemudian mengeluarkan kenyataan media dua kali untuk menjelaskan pandangannya, termasuk memberikan contoh amalan di negara Komanwel yang lain.

Sementara itu, Lim juga mengkritik Azhar kerana menghadkan jumlah wartawan yang dibenarkan untuk membuat liputan sidang Dewan Rakyat bulan depan, yang akan membahaskan Belanjawan 2021.
Katanya, langkah itu bertentangan dengan kebebasan maklumat dan menjejaskan demokrasi.
“Covid-19 tidak patut mengakibatkan kebebasan media terancam, sebaliknya laporan bebas oleh media dapat menyoroti sebarang kegagalan dan kelemahan termasuklah dalam menguruskan krisis kesihatan COVID-19.,” katanya.
Lim lalu menggesa Azhar supaya kekal tidak memihak dan adil kepada semua pihak dalam waktu krisis seperti ini, termasuk kepada pembangkang.
Dalam pada itu, satu klip video Azhar mengulas mengenai tugas speaker Dewan Rakyat tersebar di media sosial. Rakaman video itu dipetik dari program Art of the Matter terbitan InciteMyTV pada 2015.
Azhar dilantik menjadi speaker Dewan Rakyat pada Julai lalu. Beliau sebelum itu memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak September 2018, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum lebih kurang enam bulan sebelumnya. – 19 Oktober, 2020.
Komen