KETIKA kemelut menentang pembinan hartanah mewah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) semakin memuncak, dua kumpulan penduduk rumah panjang di tapak projek berhampiran Taman Rimba Kiara kini mengecam satu sama lain, mendakwa ada antara mereka tidak bercakap bagi pihak penduduk tetapi mahukan projek itu berlangsung.
Sivakumar Muniandy, setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara berkata sebuah lagi kumpulan penduduk, Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara tidak mewakili pandangan semua penduduk rumah panjang itu.
“Kami ada 170 ahli sekarang, ada lebih kurang 500 orang tinggal di rumah panjang di Taman Rimba Kiara.
“Kami menentang pembangunan kerana ia akan menghancurkan kawasan hijau Taman Rimba Kiara dan kerana tiada petunjuk jelas diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tentang jenis rumah yang akan diperolehi oleh penduduk rumah panjang bila projek itu disiapkan.
“Kami juga percaya jika kami berpindah keluar dari rumah panjang bila projek itu disiapkan, warisan kami akan hilang,” kata Sivakumar pada sidang media di Dewan Komuniti TTDI hari ini.
Katanya, sebuah lagi kumpulan, Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara yang diterajui V Sunderam mahukan projek hartanah mewah gergasi itu yang merangkumi lapan blok apartmen dengan 2,000 unit rumah, 350 unitnya diperuntukkan untuk penduduk rumah panjang diteruskan.
Penduduk rumah panjang itu berasal daripada 98 keluarga yang bekerja di ladang getah Bukit Kiara yang dibeli kerajaan persekutuan dan dijanjikan rumah yang lebih baik apabila menandatangani Perjanjian Induk Penempatan Semula (MRA) pada 2015.
Sivakumar berkata keluarga tersebut adalah ahli kumpulan yang menyokong projek itu diketuai Sunderam.
Sivakumar mengakui yang kumpulan Sunderam diiktiraf DBKL sebagai wakil penduduk rumah panjang Bukit Kiara kerana mereka adalah keluarga pertama yang menandatangani MRA.
“Wakil rumah panjang dihadkan kepada 98 keluarga pertama sahaja. Orang tua tidak wajar mewakili keseluruhan rumah panjang kerana generasi mudalah yang akan menjaga orang tua nanti.”
“Kumpulannya juga hanya menumpukan kepada warga emas, sesuatu yang tak patut berlaku kerana generasi muda yang akan mengambil alih di masa depan,” katanya.
Beliau juga menuduh Sunderam menolak permohonan baru untuk menyertai kumpulan itu, menambah yang Sunderam enggan berjumpa Sivakumar untuk berbincang perkara berkaitan kepentingan penduduk di situ.
Sivakumar juga mempersoalkan tentang wang yang diberikan pemaju projek, Memang Perkasa Sdn Bhd untuk penduduk rumah panjang membaiki rumah dan melakukan kerja penyeliaan kediaman mereka.
“Isu seperti RM700,000 yang diberikan pemaju untuk kerja baik pulih dan penyeliaan penduduk rumah panjang, kami mahu tahu di mana duit itu hilang?
“Kami terpaksa mengeluarkan antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk baiki rumah kami, atap bocor dan penyeliaan. Tidak nampak langsung duit itu digunakan untuk kerja-kerja itu,” katanya menambah yang kumpulannya memperolehi maklumat itu daripada dokumen mahkamah.
Kumpulan Sivakumar dan kumpulan penduduk TTDI, Save Taman Rimba Kiara menentang projek yang akan menghapuskan kawasan hijau ibu kota Taman Rimba Kiara itu.
Pada 14 Disember lalu, mereka berdepan halangan besar selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohanan mereka untuk menangguhkan projek itu. Penghakiman mahkamah berasaskan kepentingan responden ketiga iaitu pemilik tanah Yayasan Wilayah Persekutuan dan pemaju, Memang Perkasa Sdn Bhd akan berdepan kerugian besar kerana sudah banyak melabur dalam projek itu.
Kumpulan penduduk diketuai Sunderam disenaraikan sebagai responden kelima.
Di mahkamah hari itu, Sunderam memberitahu wartawan yang mereka berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
“Jika mereka (Persatuan Penduduk TTDI) melakukan (satu lagi sama), kami juga rasa Tuhan akan tolong kami. Jika mereka (pemaju) teruskan projek itu, mereka akan teruskan juga. Apa yang mereka boleh buat,” katanya.
Save Taman Rimba Kiara dijangka melakukan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi. – 16 Disember, 2017.
Komen