Mahkamah tolak permohonan tangguh pembinaan di Taman Rimba Kiara


Asila Jalil

Wakil Save Rimba Kiara Park berjalan keluar dari kamar mahkamah di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. Permohonan persatuan penduduk itu untuk menangguh buat sementara pembangunan di Taman Rimba Kiara telah ditolak hari ini oleh Mahkamah Tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Disember, 2017.

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan yang dituntut penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi menghentikan buat sementara waktu pembinaan apartment tinggi di Taman Rimba Kiara, TTDI.

Peguam Persatuan Penduduk TTDI Balan Nair berkata, antara sebab permohonan itu ditolak kerana penglibatan pihak ketiga yang juga responden ketiga dan keempat iaitu Yayasan Wilayah Persekutuan, cabang kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd.

Permohonan tangguhan itu ditolak bersama kos berjumlah RM40,000 yang perlu dibayar RM10,000 kepada responden pertama, ketiga, keempat dan kelima, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan, Memang Perkasa Sdn Bhd dan Sunderem Residents’ Association.

Penyelaras jawatankuasa Save Taman Rimba Leon Koay berkata, kes itu adalah tindakan pendudukan atas nama kepentingan awam.

“Kami tak untung apa-apa. Kami hanya mahu pertahankan taman awam yang telah wujud sejak 20, 30 tahun,” kata Koay kepada wartawan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Tambah Koay, persatuan penduduk TTDI bukanlah berniat mengganggu penduduk rumah panjang sedia ada di situ, namun katanya, tapak itu boleh dibangunkan daripada mengganggu Taman Rimba Kiara.

“Cadangan pembangunan ini akan mengacau taman rimba itu. Yang peliknya, 90% daripada pembangunan ini untuk membina kondominium mewah. Hanya 10% sahaja untuk perumahan mampu milik untuk penduduk rumah panjang itu. Kami menentang yang 90% itu.

“Semua tindakan kami ini dibuat sebab kami bantah 90% (pembangunan) itu tetapi apa yang difokuskan dalam pemfailan ketiga oleh responden ialah mengenai 10% rumah mampu milik. Malah mereka cuba beri gambaran kami mengganggu mereka membina rumah. Ini tak betul,” kata Koay menambah persatuan penduduk juga telah mencadangkan pilihan lain yang berpatutan dan lebih lestari,” katanya.

Malah, tambahnya lagi, dengan mengangkat isu ini, mereka terpaksa membayar kos yang tinggi.

“Kami ini cuma penduduk biasa sahaja. Semua orang telah bekerja keras membantu bantu apa yang boleh atas nama kepentingan awam. Sekarang, kami kena bayar denda dengan kos yang tinggi.

“Adakah ini mesej yang nak disampaikan kerajaan dan pengurusan mahkamah kepada orang awam? Tentang perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam?

“Perlu ada keseimbangan sama. Dan apa yang kami lakukan ialah naikkan isu ini. Dengan mengangkat isu ini, kami kena bayar RM40,000 pula,” tambah Koay.

Sementara itu, pengerusi persatuan rumah panjang V Sunderam berkata, penduduk berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Jika mereka (Persatuan Penduduk TTDI) ambil (tindakan undang-undang lagi), kami rasa tuhan akan bantu kami.

“Kalau (pemaju) teruskan projek. Apa mereka boleh buat?” katanya.

Berkaitan kes itu, Balan berkata beliau akan menaikkan perkara itu kepada Mahkamah Rayuan, diikuti arahan daripada kliennya.

Pada 26 November lalu, seramai 200 penduduk TTDI dan pencinta alam sekitar berhimpun di Taman Rimba Kiara bagi membantah kelulusan DBKL untuk projek pembangunan di kawasan itu.

Protes itu dilakukan hanya tiga hari selepas penduduk mengadakan perbincangan dialog dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata, tapak taman itu tidak akan disentuh.

Menurut peserta perhimpunan itu, mereka membantah tindakan DBKL yang memberikan kelulusan kepada pemaju Memang Perkasan Sdn Bhd (MPSB) untuk meneruskan pembangunan dengan meluluskan pembinaan sebuah galeri pameran jualan. 

Ruang pameran itu bertujuan mempromosikan jualan lapan blok apartment oleh Malton Bhd unit, MPSB, di Taman Rimba Kiara. – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen