HAMPIR 200 orang penduduk TTDI dan pencinta alam sekitar berhimpun di Taman Rimba Kiara hari ini bagi membantah kelulusan DBKL untuk projek pembangunan di kawasan itu.
Menurut peserta perhimpunan itu, mereka membantah tindakan DBKL yang memberikan kelulusan kepada pemaju Memang Perkasan Sdn Bhd (MPSB) untuk meneruskan pembangunan dengan meluluskan pembinaan sebuah galeri pameran jualan.
Ruang pameran ini adalah untuk mempromosikan jualan lapan blok apartment oleh Malton Bhd unit, MPSB, di Taman Rimba Kiara.
Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI Hafiz Abu Bakar berkata, isu Taman Rimba Kiara bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk sekitar malah, juga kepada pencinta alam sekitar daripada kawasan lain.
Katanya, bantahan itu adalah sebagai gesaan kepada pihak berkuasa untuk membatalkan pembangunan berikutan ketidakpuasan hati mereka terhadap kelulusan yang diberikan DBKL kepada cadangan pembangunan itu pada 6 November lalu - tiga hari selepas dialog antara penduduk dan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor diadakan.
“Menteri (Tengku Adnan) berkata, beliau tidak akan sentuh Taman Rimba Kiara, tetapi tiga hari selepas itu DBKL memberi kelulusan kepada pembinaan ruang pameran.
“Jelas sekali mereka tidak memiliki sentimen awam di hati mereka. Kamu tidak boleh sewenangnya mengambil taman awam dan dirikan kondominium,” katanya kepada mereka yang hadir.
Pada 6 November lalu, DBKL mengeluarkan satu lagi kelulusan untuk projek pembinaan galeri jualan hartanah di tapak pembinaan.
Koordinator jawatankuasa kerja Selamatkan Taman Rimba Kiara, Leon Koay berkata, Hafiz telah menulis surat kepada Tengku Adnan pada 6 November untuk memaklumkan beliau berhubung kelulusan DBKL dan meminta untuk mengadakan pertemuan dengan menteri, yang pernah mereka bangkitkan pada sesi dialog sebelum ini namun tiada tindakan.
“Kami tidak menerima sebarang maklum balas, langsung tiada. Bahkan kami mendapati DBKL meluluskan pembinaan ruang pameran, hingga kini tiada sebarang balasan,” kata Koay kepada The Malaysian Insight.
Pada 3 November lalu, menteri wilayah persekutuan itu mengadakan pertemuan dengan penduduk TTDI pada program “bicara rakyat” yang pertama kali diadakan di mana penduduk membangkitkan pelbagai isu antaranya berhubung nasib Taman Rimba Kiara.
Selain jaminan “tidak”, Tengku Adnan malam tadi sekali lagi membuat janji yang sama “untuk melihat semula perkara itu” dan “kami mahu anda gembira”.
Tengku Adnan beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan menyentuh Taman Rimba Kiara kerana ia adalah tanah rizab.
Penduduk TTDI Boris Chang berkata, kelulusan DBKL itu membuktikan pihak berkuasa tidak mengambil berat terhadap masalah yang dibangkitkan penduduk.
“Mereka hanya cuba berikan jawapan yang baik tanpa sebarang janji. Mereka tidak serius dengan kita,” katanya.
Chang yang tinggal di TTDI sejak 1997 berkata, bantahan untuk selamatkan Taman Rimba Kiara bukan hanya untuk manusia, tetapi juga untuk alam sekitar.
“Ia perlu diselamatkan dan dijaga haknya di tengah bandaraya. Di mana lagi kamu mahu dapatkan kawasan seperti itu dan bagaimana kami boleh benarkan mereka untuk musnahkannya,” kata Chang kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Hannan Akhmal, 16 tahun juga tidak bersetuju dengan projek pembangunan kerana sudah tidak banyak lagi kawasan hijau di bandaraya ini.
“Jika kamu bangunkan sesuatu di kawasan hijau, generasi akan datang tidak akan tahu apa sebenarnya semua ini,” katanya.
Tahun lalu, penduduk TTDI mendapati satu notis dikeluarkan DBKL yang mengumumkan pembangunan besar-besaran yang akan memberi kesan kepada Taman Rimba Kiara dan pada 14 Jun tahun lalu, projek bernilai RM3 bilion itu didedahkan kepada umum.
Persatuan penduduk TTDI menghantar lebih 5,000 tandatangan yang menetentang projek berkenaan.
Pada Ogos tahun lalu, wakil penduduk hadir pada pendengaran awam dan mendapati tambahan kepada pembinaan blok perumahan flat 29 tingkat dan lapan blok apartment dalam tanah seluas 4.86 hektar, lebuh raya enam lorong diperuntukkan untuk memotong kawasan kejiranan TTDI yang kaya dengan tumbuhan hijau itu.
Pada 7 Mei tahun ini, selepas bantahan tidak didengar oleh pihak berkenaan, persatuan penduduk mengumumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL untuk menghalang projek berkenaan.
Penduduk kemudiannya bertindak memfailkan semakan kehakiman terhadap DBKL dan datuk bandar Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi menangguhkannya pada 23 Ogos.
Mahkamah menetapkan 13 Disember untuk mendengar permohonan penduduk untuk menghentikan pembangunan itu. – 26 November, 2017.
Komen