IDEA untuk menggantung Parlimen sebagai penyelesaian kepada kemelut penentuan majoriti di Dewan Rakyat tidak perlu dilayan, kata Senator Liew Chin Tong.
Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh Presiden MIC A Vigneswaran hanya muslihat untuk memperpanjangkan hayat pentadbiran Muhyiddin Yassin, yang minggu ini didakwa sudah hilang majoriti.
“Saya harap lebih ramai orang akan mengutuk idea ini. Saya menggesa perdana menteri untuk menolak kemungkinan menggantung Parlimen.
“Saya harap beliau akan beri jaminan kepada rakyat bahawa beliau tidak akan membunuh demokrasi untuk terus kekal sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Liew, tiada mana-mana pihak harus meremehkan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Cubaan menundukkan demokrasi Malaysia hanya untuk mengekalkan perdana menteri, ketika tahu bahawa beliau mungkin kalah undian parlimen, akan merosakkan negara untuk beberapa generasi,” tambahnya.
Pada Rabu, Vigneswaran yang juga bekas Speaker Dewan Negara mencadangkan supaya Dewan Rakyat digantung bagi memberi fokus kepada kerajaan menguruskan penularan Covid-19.
Katanya, cadangan itu boleh membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan mestabilkan keadaan politik.

Vigneswaran membuat cadangan itu sehari selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bahawa beliau kini ada sokongan majoriti yang cukup untuk menggantikan kerajaan Muhyiddin.
Kata Anwar, dengan sokongan yang ada padanya, kerajaan Muhyiddin sudah tumbang.
Susulan sesi menghadap di Istana Negara itu, politik Malaysia sekali berdepan dengan suasana seperti kemelut pada hujung Februari apabila parti-parti politik di kedua-dua belah dilaporkan mencatur langkah untuk mendapatkan majoriti.
Menurut Liew, cadangan untuk menggantung Parlimen adalah idea paling bahaya yang didengarnya minggu ini, untuk menyelesaikan keadaan politik Malaysia sekarang.
“Demokrasi Malaysia yang sedang bertatih akan diancam, hanya untuk memastikan kerajaan kekal,” katanya.
“Ini langkah paling tidak bertanggungjawab bagi mana-mana parti politik membuat cadangan itu ketika ia masih juga berminat menyertai pilihan raya.”
Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa berkata cadangan itu hanya idea MIC dan tidak dibincangkan di peringkat parti gabungan.

Namun Liew berkata beliau “tahu dan sudah mendengar” cakap-cakap mengenai perkara itu dalam kalangan pihak atasan.
Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar atau memprorog Parlimen.
Anwar semalam dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat antara lain berhubung dakwaannya kerajaan Muhyiddin sudah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed bagaimana dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak polis tidak ditekan untuk menyiasat Anwar. Huzir juga mengesahkan Anwar turut disiasat berhubung satu dakwaan meliwat.
Selain menerima menghadap Anwar, Yang di-Pertuan Agong turut menerima menghadap Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, beberapa jam selepas sesi bersama Anwar.
The Malaysian Insight semalam melaporkan Tengku Razaleigh, 83, ikut bersaing untuk membentuk gabungan baharu menguasai Putrajaya.

Tengku Razaleigh pada Rabu mendedahkan suratnya kepada Speaker Dewan Rakyat menggesa usul tidak percaya terhadap perdana menteri didengar segera.
Semalam, lima ahli Parlimen parti baharu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) termasuk pengasasnya Dr Mahathir Mohamad mengemukakan semula usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Sebelas ahli Parlimen Amanah diketuai presidennya Mohamad Sabu juga menghantar notis usul yang sama.
Dewan Rakyat ditetapkan untuk bersidang pada 2 November ini untuk 27 hari sehingga 15 Disember. – 17 Oktober, 2020.
Komen