Anwar enggan bocor senarai ahli Parlimen kepada polis


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim berkata tidak membocorkan nama ahli Parlimen yang menyokongnya kepada pihak polis, semasa bercakap dengan media di Bukit Aman, petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Oktober, 2020.

ANWAR Ibrahim keluar dari Bukit Aman petang ini dan berkata beliau enggan membocorkan nama ahli Parlimen yang menyokongnya semasa disoal siasat kerana ia tidak melibatkan pihak polis atau menteri dalam negeri.

Presiden PKR dan pemimpin pembangkang itu memberitahu wartawan, terdapat enam laporan dibuat terhadapnya selepas beliau mengumumkan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan berikutnya.

“Terdapat enam kes terhadap saya dan saya sudah memberitahu penyiasat yang saya menyerahkan surat daripada pemimpin parti (kepada Yang di-Pertuan Agong).

“Saya memberitahu mereka ini adalah hal saya dan tidak melibatkan polis atau menteri dalam negeri.

“Mengapa fokus kepada 121 nama? Ini disampaikan oleh setiap pemimpin parti dan saya tidak berada di sini untuk bekerjasama dengan tuan mereka untuk memberikan nama tersebut.

“Ini antara saya dengan Yang di-Pertuan Agong,” kata Anwar selepas menghabiskan dua jam bercakap dengan polis persekutuan petang ini.

Anwar datang ke ibu pejabat polis di Bukit Aman kira-kira jam 3 petang.

Beliau dipanggil berikutan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa dan mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

Anwar memberitahu sidang media selepas pertemuan itu yang beliau sudah mengemukakan bukti berbentuk dokumen mengenai ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi perdana menteri baharu.

Bagaimanapun, Istana kemudian mengeluarkan kenyataan berkata Anwar itu tidak menyerahkan senarai nama ahli Parlimen.

Sementara itu, peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata tindakan pantas polis dalam menyiasat senarai ahli Parlimen itu membingungkan.

“Ada enam kes dan yang mengejutkan saya ialah polis cepat menyiasat enam kes tersebut. Biasanya mereka akan mengambil masa meneliti kes tetapi kesemua enam kes itu dibentangkan hari ini,” kata Ramkarpal kepada wartawan.

Katanya, Anwar bekerjasama semasa disoal siasat dan polis juga bersikap profesional dalam sesi dua jam itu.

Anwar berkata tidak mungkin beliaudipanggil lagi kerana sudah memberi kerjasama dengan polis hari ini. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen