Tiada tekanan untuk siasat Anwar, kata polis


Polis mengesahkan Anwar Ibrahim disiasat berkaitan enam kes termasuk satu tuduhan liwat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2020.

POLIS tidak ditekan secara politik atau diberi arahan oleh mana-mana pihak untuk menyiasat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed.

“Siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Huzir, Anwar semalam telah diambil keterangan berhubung penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen dalam portal MH Daily, yang didakwa menyokong beliau untuk jadi perdana menteri.

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat,” katanya.

Jelas Huzir, penyebaran kenyataan itu dibuat dengan niat untuk menggugat ketenteraman awam.

“Sehingga kini, sebanyak 113 laporan polis telah diterima termasuk aduan dari kalangan ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan,” katanya.

Huzir juga menggesa semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatannya secara telus dan adil.

“Tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tambahnya.

Huzir juga mengesahkan polis menyiasat enam kes terhadap Anwar, termasuk satu dakwaan jenayah liwat bersabit satu akuan bersumpah oleh seorang lelaki bernama Aidil Azim Abu Adam.

Empat kes lain yang disiasat ialah:

* kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat;

* video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan;

* video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing di Malaysia; dan

* sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong, pada Selasa

Semalam selepas keluar dari ibu pejabat polis di Bukit Aman, Anwar berpendapat siasatan terhadapnya bermotifkan politik.

“Saya nampak ini satu rencana berunsur politik untuk menekan saya dalam saat-saat genting ini.

“Kebanyakan soalan polis menjurus banyak soal politik mengenai ahli Parlimen dan juga tentang pertemuan saya dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tegas Anwar, butiran pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong adalah hal yang tidak perlu dibincang kepada umum, apalagi untuk diberitahu kepada pihak polis.

Anwar juga mengingatkan beliau tidak pernah menyebut senarai nama ahli Parlimen kepada Agong sebaliknya hanya mempersembahkan dokumen sokongan.

Peguam Anwar Ramkarpal Singh yang mengiringi beliau ke Bukit Aman juga hairan kenapa enam siasatan itu dibuat serentak dan tergesa-gesa.

Bagaimanapun katanya Anwar memberi kerjasama profesional kepada pihak polis.

Anwar hadir di Bukit Aman pada 3 petang dan keluar lebih dua jam kemudian. – 17 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen