Hannah Yeoh desak Putrajaya tambah baik kebajikan polis


The Malaysian Insight semalam melaporkan seramai 147 anggota dan pegawai polis dijangkiti Covid-19 setakat awal minggu ini, kebanyakannya dalam kalangan kontinjen Kuala Lumpur.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin perlu lebih serius menambah baik kebajikan dan keselamatan anggota polis ketika bertugas di tengah pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Beliau merujuk laporan The Malaysian Insight semalam, mengenai seramai 147 anggota dan pegawai polis dijangkiti Covid-19 setakat awal minggu ini, kebanyakannya dalam kalangan kontinjen Kuala Lumpur.

“Dengan peningkatan kes di kalangan anggota polis dan komuniti di sekeliling mereka, sudah tiba masanya Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menambah baik kebajikan anggota polis.

“Ini termasuk memastikan bahawa tempat kerja dan kuarters perumahan mereka tidak sesak.

“Bolehkah anggota polis kita mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 dengan mempraktikkan jarak sosial di tempat kerja mereka sekarang? 

“Banyak balai polis dan kuarters perumahan mereka didapati kurang memuaskan,” kata bekas timbalan menteri wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Ramli Din semalam memberitahu The Malaysian Insight seramai 106 ahli keluarga dan 10 kakitangan awam Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga dijangkiti Covid-19.

Yeoh pada masa yang sama juga mendesak Hamzah memastikan anggota polis disediakan secukupnya dengan alat perlindungan diri termasuk alat pengimbas suhu, pelitup muka dan pembersih tangan .

“Melindungi barisan hadapan kita adalah komponen terpenting dalam memerangi Covid-19 ini. Oleh itu, kerajaan harus meningkatkan usaha melindungi barisan hadapan kita yang setiap hari membahayakan nyawa mereka bagi memastikan kita semua selamat.” – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen