263 polis, keluarga dijangkiti Covid-19, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

147 anggota dan pegawai PDRM, 106 ahli keluarga mereka dan 10 kakitangan awam PDRM disahkan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

SERAMAI 147 anggota dan pegawai polis telah dijangkiti Covid-19 setakat awal minggu ini, dengan kebanyakan kes dicatatkan dalam kalangan kontinjen Kuala Lumpur, kata Bukit Aman.

Pada masa sama, 106 ahli keluarga dan 10 kakitangan awam Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga terkena jangkitan, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Ramli Din.

“Positif paling tinggi adalah kontinjen Kuala Lumpur dengan 36 kes, iaitu lima pegawai dan 31 anggota. 

“Kami memantau rapi perkembangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Ramli juga berkata 19 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras turut disahkan positif Covid-19. 

Setakat tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 660 kes baharu di seluruh negara, kebanyakannya di Sabah dan Kedah, menjadikan keseluruhan kes 17,540 sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari lalu.

Semalam juga empat lagi kematian direkodkan, menjadikan keseluruhan korban kini 167 orang. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen