PAS masih sokong PN, tapi bincang langkah Umno, kata ketua penerangan


Diyana Ibrahim

PAS masih sokong kerajaan PN namun tetap akan membincangkan hasrat Umno mahu menarik diri daripada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

PAS masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun parti Islam itu tetap akan membincangkan hasrat Umno mahu menarik diri daripada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata ketua penerangannya Kamaruzaman Mohamad.

Setakat ini PAS mengambil pendirian tunggu dan lihat, katanya, selepas Biro Politik Umno yang bermesyuarat pada Selasa mahu menetapkan syarat baharu untuk memberikan kerjasama menyokong PN.

Menurut Kamaruzaman, perkara itu akan dibincangkan oleh PAS pada minggu ini, namun beliau tidak memberikan tarikh.

“Kami telah bincang dalam kumpulan Muafakat Nasional (MN), insyallah, perkara ini kita akan bincang (pada peringkat PAS) dalam masa terdekat, ya, minggu ini juga.

“Tapi pendirian kita setakat ini masih menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sambil memperkukuhkan MN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Biro Politik Umno yang bermesyuarat pada Selasa mengumumkan parti itu menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perikatan dan keluar dari kerajaan, melainkan PN bersetuju dengan syarat baharu.

Syarat baharu kerjasama politik untuk sokongan Umno itu pula perlu dimuktamadkan segera secara bertulis, umum Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad juga mengumumkan mesyuarat itu bersetuju untuk mencadangkan MN didaftarkan segera sebagai gabungan politik.

Cadangan Biro Politik itu akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Sabtu ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadli Shaari berkata parti Islam tidak boleh membuat sebarang keputusan, selagi tidak mengetahui secara terperinci tuntutan Umno kepada PN.

“Tidak ada apa perkembangan lagi, kita tak tahu butiran dari Umno lagi jadi kita tak boleh buat pendirian berdasarkan cakap-cakap saja.

“Setakat ini tunggu dan lihat apa syarat mereka, apa perbincangan yang boleh dibuat kerajaan dan Umno,” katanya.

Beliau juga menegaskan PAS tetap menyokong PN dan pada masa sama, mahu memperkasakan MN.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama MN pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari, gabungan baharu PN muncul dan mengambil alih Putrajaya. PAS yang menyertai kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, kemudian perlahan-lahan kelihatan mengubah haluannya.

PAS antara parti penaja penubuhan PN, yang pendaftarannya diluluskan pada awal Ogos. Selain PAS dan Bersatu, gabungan itu disertai secara rasmi oleh dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP.

Penganalisis melihat sudah sampai masanya untuk PAS membuat pilihan antara PN atau MN.

Sementara itu, Ahli Parlimen Chepa Ahmad Marzuk Shaari berkata tuntutan Umno perlu dilihat dari sudut positif untuk memperkukuhkan dan memberi kestabilan kerajaan PN.

Ini termasuklah jika Umno meminta jawatan timbalan perdana menteri dan lebih banyak jawatan menteri kanan, tambah timbalan menteri yang memegang portfolio agama itu.

“Faktor baharu yang dicadang Umno pada saya untuk perkukuhkan muafakat antara PN dan komponen parti yang bentuk kerajaan. Pada saya sebenarnya itu tujuan Umno dan bukan jatuhkan kerajaan sedia ada.

“Paling penting (ada) sebuah kerajaan stabil dan bertambahnya sokongan kekuatan bila kita ada pendekatan baru,” katanya.

Marzuk juga tidak melihat langkah Umno menuntut syarat baharu untuk menyokong PN sebagai sesuatu yang membahayakan kerjasama PN dan MN.

Apa yang lebih penting ialah semua parti dalam PN dan MN sepakat menolak cubaan Anwar menjatuhkan kerajaan, katanya.

“Umno dan semua komponen tidak boleh terima kehadiran Anwar,  DAP dan PKR dalam komponen mereka.

“Apa berlaku tak jejas muafakat dan tidak akan gugat kestabilan,” katanya.

Dalam pada itu, Fadli mengakui tidak menjangka Umno akan membuat keputusan yang begitu drastik.

“Kita tidak terkejut sangat cuma kita akui ia diluar jangkaan. Kita tak jangka sampai ke tahap ini.

“Tapi itu hak Umno kerana masih lagi mempunyai ahli Parlimen ramai.

“Jadi kita tengoklah setakat ini bagaimana,” katanya.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan kelmarin mendapat perkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen yang didakwa mendukungnya untuk membentuk kerajaan baharu.

Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut Anwar hanya mengemukakan jumlah mereka yang menyokongnya tetapi tidak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama mereka.

Al-Sultan Abdullah juga menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata kenyataan itu.

Selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula dilihat keluar dari Istana Negara pada 2.40 petang.

Yang di-Pertuan Agong juga dilaporkan akan memanggil ketua-ketua parti politik menghadap namun sesi itu sudah ditangguhkan. – 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen