Selesaikan agih kerusi dengan PAS segera, kata akar umbi Umno


Akar umbi Umno di Terengganu, Kelantan, dan Kedah berkata ahli parti masih keliru dengan hala tuju kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

AKAR umbi Umno di Terengganu, Kelantan, dan Kedah mahu isu pengagihan kerusi dengan PAS diselesaikan dengan baik ketika ahli parti masih keliru dengan hala tuju kerjasama dua parti itu dalam Muafakat Nasional.

Pemimpin di akar umbi memberitahu The Malaysian Insight ahli parti keliru kerana pemimpin kedua-dua parti setakat ini memberikan bayangan akan berlaku pertembungan kerusi antara PAS dan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua Pemuda Umno Kuala Terengganu Mazahan Mohd Ali berkata pucuk pimpinan Umno perlu membuat pendirian yang jelas dan tegas supaya akar umbi dapat melakukan gerak kerja untuk bersiap menghadapi pilihan raya.

“Setakat ini apa yang saya difahamkan pucuk pimpinan negeri kedua-dua parti belum mengadakan perbincangan khusus dan sebab itu pimpinan tak bagi tugas kepada akar umbi lagi.

“Jika pucuk pimpinan kata kita perlu lawan dalam konteks Terengganu, mungkin kita akan bertanding berasingan. Kalau pengerusi perhubungan negeri kata perlu berkongsi, kita akan terima juga,” katanya.

Mazahan bagaimana berkata akar umbi Umno terkilan apabila pemimpin PAS berulang kali menyentuh soal pembahagian kerusi di Terengganu yang seolah-olah tidak menghormati pandangan Umno mengenai hal itu.

“Kita kena rujuk sejarah pertembungan Umno dan PAS di Terengganu… berbeza dengan negeri di pantai barat, yang saingan Umno bukan PAS.

“Di Terengganu, pertembungannya memang antara Umno dan PAS, bukan Bersatu dan jauh sekali PKR,” katanya.

Isu bahagi kerusi pilihan raya antara PAS diterajui Hadi Awang dan Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi akan jadi cabaran terbesar kepada Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Dalam satu ucapan di Dungun pada 18 Julai, Pesuruhjaya PAS Terengganu Dr Ahmad Samsuri Moktar berkata PAS akan mempertahankan enam kerusi Parlimennya di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dalam reaksi balasnya pula berkata Umno akan meletakkan calon di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di tengah-tengah pertembungan itu, Bersatu Terengganu pula mengumumkan mahu bertanding dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN, ketika ketiga-tiga parti itu bersekutu.

Umno dan PAS membentuk kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional pada September 2019. Dua parti itu kemudian bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu pada hujung Februari, selepas parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu keluar dari Pakatan Harapan.

PAS kemudian menjadi penaja bersama Bersatu untuk menubuhkan parti baharu Perikatan Nasional. Umno bagaimanapun tidak menyertai gabungan parti itu, dan akan bertanding dengan logo Barisan Nasional dalam PRU15.

“Akar umbi keliru bukan kata kita nak lawan (PAS). Kita akan ikut apa yang diputuskan oleh pimpinan.

“Tapi ketika ini akar umbi keliru sebab pemimpin dua parti (Umno dan PAS) beri bayangan akan berlaku pertembungan,” kata Mazahan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga dalam satu kenyataan awal Oktober menggesa presiden Ahmad Zahid Hamidi memberikan “pedoman dan hala tuju jelas” kepada parti dan ahli mengenai kerjasama politik Umno.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini mendesak presiden memberi pedoman dan hala tuju kerjasama politik parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Terkilan tapi patuh

Isu pembahagian kerusi juga menimbulkan isu dalam kalangan akar umbi Umno di Kelantan walaupun pimpinan parti negeri sejak awal membuat ketetapan akur lebih banyak kerusi akan diberikan kepada PAS.

Dalam sidang media semasa Muktamar PAS ke-66 di Pengkalan Chepa bulan lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya akan bertanding di majoriti kerusi di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Seorang pemimpin Umno Kelantan yang enggan namanya didedahkan memberitahu The Malaysian Insight akar umbi parti agak terkilan dengan kenyataan pimpinan PAS.

“Bab pengagihan kerusi ini biarlah diumumkan bersama mengikut semangat Muafakat Nasional,” katanya.

Seorang lagi pimpinan akar umbi Umno Kelantan pula mengakui walaupun ramai yang tidak puas hati dan kecewa dengan pengumuman PAS, mereka akan akur dengan keputusan pemimpin parti.

“Bagi kita biarpun kita tak puas hati, kecewa tapi kalau akar umbi itu biasanya akan patuh juga kepada pemimpin,” katanya yang juga tidak mahu dinamakan.

Kedua-dua sumber juga mengakui sudah ada perbincangan rasmi antara Umno dan PAS mengenai pembahagian kerusi namun enggan mendedahkan butir rundingan.

Ketua Pemuda Umno Langkawi Ahmad Marzuki Shari pula berharap pimpinan Umno dan PAS akan menyelesaikan isu pengagihan kerusi untuk PRU15 dengan bijaksana. 

“Jika ingin wujudkan satu gandingan yang kuat, elakkan pertembungan antara Pas dan Umno,” katanya.

Walau terkilan dengan beberapa keputusan dibuat kepimpinan parti, akar umbi Umno terus patuh kepada arahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

Fokus kalahkan Pakatan

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari meminta Umno dan PAS memberi tumpuan kepada usaha memastikan Pakatan Harapan tidak kembali memerintah.

“Walaupun PH pada PRU14 tak dapat sebarang kerusi di Kelantan tapi jangan lupa mereka pernah jadi kerajaan (di Putrajaya) selama hampir 2 tahun.

“Jadi mereka ada kesempatan selama 22 bulan untuk membina akar umbi. Kita tak nampak mereka sebagai saingan yang mudah,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Fadhli berkata sesiapa pun berhak untuk bercakap mengenainya sekarang sebagai memberi cadangan, selagi perkara itu belum dimuktamadkan.

Dalam ucapannya di Muktamar PAS baru-baru ini, Ahmad Fadhli menggesa PAS diberikan 40 kerusi untuk bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Angka yang beliau sebut itu adalah jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di empat negeri itu. Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen, Terengganu 8, Kedah 15, dan Perlis 3.

Ahmad Fadhli menjelaskan PAS bukan mementingkan diri apabila membangkitkan cadangan itu.

“Mood Umno dan PAS di Kelantan adalah menolak PH dan kesepakatan di Kelantan akan menjadi satu testimoni di peringkat nasional,” katanya. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen