PAS mahu tanding 6 kerusi Parlimen Terengganu, umum Ahmad Samsuri


Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsusi Moktar berkata parti Islam itu berhasrat bertanding di enam kerusi Parlimen Terengganu. – Gambar YouTube, 19 Julai, 2020.

PAS akan mempertahankan enam kerusi Parlimennya di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika ada ura-ura kerusi sama juga diintai Umno dan Bersatu.

Hasrat itu akan dipertahankan dalam rundingan pengagihan kerusi bersama parti lain dalam Perikatan Nasional, katanya yang mengetuai pasukan perunding kerusi pilihan raya PAS.

“Saya memberikan komitmen dalam konteks Terengganu kita ini, enam kerusi Parlimen itu kita akan kekal dan pertahankan dengan sesungguhnya,” katanya di Dungun, semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Dungun, yang rakaman videonya dimuat naik di YouTube.

Pengumuman menteri besar Terengganu itu menjadikan hanya ada dua kerusi Parlimen di negeri itu untuk ditandingi oleh Umno dan Bersatu, iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Enam kerusi yang kini disandang oleh PAS di Terengganu ialah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman.

Kawasan Parlimen Besut diwakili bekas menteri besar Idris Jusoh, manakala Rosol Wahid mewakili Hulu Terengganu.

Rosol bagaimanapun keluar Umno pada Disember 2019 untuk menyertai Bersatu. Beliau kini timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Agihan kerusi Parlimen di Terengganu antara PAS, Umno dan Bersatu mungkin jadi konflik kerjasama politik itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2020.

Ketua penyelidik badan peneliti politik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim dalam reaksi segeranya berkata pengumuman Ahmad Samsuri akan menjadikan suasana politik di Terengganu semakin menarik untuk diperhatikan.

“Adakah Umno Terengganu akan memberi laluan untuk Bersatu bertanding kerusi Hulu Terengganu dan parti keramat itu hanya bertanding satu kerusi di Terengganu iaitu parlimen Besut?” tanyanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Semalam, Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan rundingan pengagihan kerusi antara Umno dan PAS di Terengganu belum dapat dimuktamadkan walaupun mekanisme pengagihan telah ditetapkan secara asas.

Sumber dipetik berkata ada pemimpin Umno tidak setuju negeri itu diserahkan “bulat-bulat” kepada PAS.

Dalam reaksinya, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yakin proses pengagihan kerusi itu akan dapat ditangani dengan baik dan diselesaikan oleh jawatankuasa induk Muafakat Nasional. – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen