ANWAR Ibrahim merosakkan reputasinya dengan cuba menubuhkan kerajan baharu sedangkan negara sedang berdepan lambakan kes jangkitan Covid-19, kata Jeffrey Kitingan.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu berkata ketua pembangkang sepatutnya memikirkan tanggapan awam terhadap tindakannya untuk menggulingkan kerajaan dalam keadaan semasa negara ini.
“Anwar sepatutnya sedar dalam keadaan semasa, di mata rakyat, beliau merosakkan kredibilitinya sendiri bila memaparkan dirinya hendak sangat jadi perdana menteri tanpa mengira kesannya terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau pada masa menegaskan sokongan partinya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kitingan berkata adalah lebih baik jika ahli Parlimen Port Dickson itu menjaga kawasan sendiri dan membantu kerajaan melawan Covid-19.
Katanya, Anwar patut fokus kepada membantu dalam pemulihan ekonomi kerana ramai hilang pekerjaan dan perniagaan terjejas teruk akibat tragedi ini.
“Star menyokong penuh kerajaan persekutuan PN dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
“Saya secara peribadi menyokong penuh Muhyiddin untuk terus bertugas sebagai perdana menteri dan tidak ada persoalan tentang beralih sokongan kepada calon lain yang bermimpi untuk menggantikan beliau.”
Beliau pemimpin PN terkini yang menyatakan kesetiaan terhadap Muhyiddin ketika Anwar bersiap sedia membawa kesnya untuk menjadi perdana menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agung esok. – 12 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen