Cuma menteri agama positif Covid-19 di mesyuarat MKN


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, semua yang hadir telah diperiksa dan sehingga kini, tidak ada kes positif Covid-19 direkodkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2020.

TIADA individu lain yang positif Covid-19 kecuali Menteri Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 3 Oktober lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, semua yang hadir telah diperiksa dan sehingga kini, tidak ada kes positif Covid-19 direkodkan.

“Semua individu dan ahli majlis yang menghadiri mesyuarat di PMO pada 3 Oktober telah menjalani pemeriksaan.

“Sehingga kini, tidak ada kes yang positif,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut dalam sidang media maya hari ini mengenai situasi Covid-19.

Pada 5 Oktober, Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19, dan meminta mereka yang hadir dalam acara yang dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan sendiri, dan menteri-menteri lain.

Muhyiddin, Noor Hisham dan beberapa menteri lain kini melakukan kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari. – 11 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen