MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad mengesahkan beliau kini menjalani rawatan positif Covid-19.
Beliau membuat pengesahan itu tidak lama selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan satu kenyataan khas memaklumkan seorang individu yang hadir satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu disahkan positif jangkitan Covid-19.
Kenyataan Noor Hisham bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu berkenaan, ketika spekulasi kencang sejak pagi ini seorang menteri disahkan dijangkiti pandemik.
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya, dalam satu maklumkan ringkas di Facebook.
Zulkifli yang menjaga hal ehwal agama turut menyeru orang ramai yang hadir di majlis yang melibatkan kehadiran beliau antara 24 September hingga semalam (4 Oktober) agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.
“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” katanya.
Dalam satu hantaran berasingan juga di Facebook, Zulkifli meminta maaf “atas sebarang bentuk kelemahan dan kelemahan” dirinya.
Katanya, semua program bantuan kepada siswa yang terkandas akan diteruskan oleh agensi agama di bawah seliaannya.
Beliau juga menyeru rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Media sebelum itu melaporkan anggota Kabinet Muhyiddin Yassin diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin hari ini.
Dalam kenyataannya, Noor Hisham berkata semua yang hadir dalam mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada Sabtu lalu telah menjalani saringan kesihatan hari ini untuk mengesan jangkitan Covid-19.

“Mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.
“Manakala ahli mesyuarat yang lain pula yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiridi rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan home assessment tool dalam aplikasi MySejahtera,” kata Noor Hisham.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19, ketika kes di seluruh negara bertambah lebih 1,400 dalam tempoh empat hari sebelumnya.
Mesyuarat sama dihadiri oleh Noor Hisham dan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob, yang awal hari ini membatalkan sidang media berasingan mereka yang telah dijadual.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga meminta orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi. – 5 Oktober, 2020.
Komen