SEMUA anggota jemaah menteri Muhyiddin Yassin diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin hari ini, kata sumber di Putrajaya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, arahan itu dikeluarkan selepas seorang menteri dipercayai positif.
“Semua menteri dan timbalan menteri diminta buat ‘swab test’ hari ini.
“Arahan keluar hari ini, minta mereka buat ujian secepat mungkin,” kata sumber, dengan syarat dirahsiakan identitinya.
Seorang pegawai menteri di Putrajaya sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight, Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara itu dalam waktu yang terdekat.
“Saya minta maaf atas kelewatan itu. KKM akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi,” kata pembantu menteri berkenaan kepada wartawan dalam kumpulan WhatsApp media sekitar jam 3 petang hari ini.
Pegawai berkenaan tidak mengesahkan dan tidak juga menafikan menterinya positif Covid-19.
Kira-kira pukul 5 petang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan beliau positif Covid-19.
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya, melalui satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
Beliau turut menyeru mereka yang terlibat dalam majlis yang melibatkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19.
“Saya berdoa semoga Allah sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada Covid-19. Insya-Allah,” kata senator itu lagi.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan Zulkifli menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober lalu.
“Pada ketika itu, memang beliau tidak mengalami sebarang gejala jangkitan Covid-19.
“Oleh yang demikian, kini beliau telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19,” kata kenyataan tersebut.
KKM sehubungan itu berkata, pihak kementerian sedang menjalankan pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan Covid-19.
“Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata kenyataan itu lagi.
Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah juga membatalkan sidang media mereka hari ini.
Sebaliknya kedua-dua mereka hanya mengeluarkan kenyataan media. – 5 Oktober, 2020
Komen