KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memaklumkan jika spekulasi menteri persekutuan disahkan positif Covid-19, kata pembantu menteri terbabit.
“Saya minta maaf atas kelewatan itu. KKM akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi,” kata pembantu menteri berkenaan kepada wartawan dalam kumpulan WhatsApp media sekitar jam 3 petang hari ini.
Pembantu itu menjawab banyak pertanyaan sama ada benar menterinya positif koronavirus.
Beliau bagaimanapun, tidak mengesahkan atau menyangkal sama ada menteri tersebut terbukti positif virus.
Seorang pegawai lain dalam kumpulan media sosial itu berkata: “Kami (akan) memberitahu maklumat yang tepat kepada kumpulan ini kemudian.”
Sekitar tengah hari tadi, kumpulan sembang dibanjiri pertanyaan daripada wartawan yang bertanya mengenai seorang menteri disahkan positif Covid-19 berikutan spekulasi terdapat menteri persekutuan dijangkiti.
Khabar angin itu mula muncul di media sosial.
Menteri yang terbabit dalam spekulasi itu menghadiri satu acara umum di Shah Alam semalam.
Spekulasi semakin kuat dengan laporan sebuah portal berita yang beberapa acara dibatalkan hari ini agar membolehkan semua menteri menjalani ujian saringan dengan segera.
Memetik sumber, Malaysia Gazette melaporkan semua menteri diarahkan menjalani ujian Covid-19 berikutan spekulasi seorang daripada mereka diuji positif.
Secara kebetulan, menteri bagi Kementerian Kesihatan dan Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri turut membatalkan sidang media yang dijadualkan hari ini walaupun tiada alasan yang diberikan.
Beberapa ahli politik daripada Perikatan Nasional diuji positif Covid-19 selepas dijangkiti virus itu semasa berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah.
Antaranya termasuk Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Mohamad, Exco Kedah Azman Nasruddin, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii.
Perbicaraan bekas presiden dan perdana menteri Najib Razak juga ditangguhkan kerana beliau perlu menjalani kuarantin di rumah setelah berkempen di Sabah.
Sementara itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan menggesa para menteri bertindak secara bertanggungjawab dengan memberitahu media dan orang ramai mengenai status kesihatan mereka.
“Sekiranya ada keraguan, penjelasan segera harus diberikan agar tindakan pencegahan dapat diambil oleh mana-mana pengamal media yang bertugas sebagai kontak rapat individu tersebut.
“Mana-mana pemimpin politik yang pulang dari Sabah dan menjalani kuarantin diminta memberikan maklumat terkini mengenai status kesihatan mereka, sama ada negatif atau positif Covid-19.
“Pemberitahuan mengenai status kesihatan mereka di media sosial membantu wartawan dan orang ramai yang telah berinteraksi dengan mereka,” kata Geramm. – 5 Oktober, 2020.
Komen