Lantikan Adun daripada PAS bakal timbulkan masalah di Sabah


Desmond Davidson Chan Kok Leong

Pelantikan pemimpin PAS sebagai Adun dijangka memberi kesan negatif terhadap GRS, terutama daripada masyarakat Kadazandusun dan Murut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2020.

PELANTIKAN pemimpin PAS ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal menimbulkan reaksi negatif terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata seorang penganalisis.

“Pelantikan ini akan menimbulkan beberapa kontroversi walaupun ia merupakan hak istimewa Ketua Menteri Hajiji Noor,” kata pensyarah sains politik kanan UiTM Sabah, Dr Firdausi Suffian.

Firdausi memberitahu The Malaysian Insight walaupun lantikan Dr Aliakbar Gulasan mempunyai kelebihan tersendiri, langkah itu akan memberi kesan negatif kepada GRS, terutama daripada kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut.

“Dan kemungkinan pembangkang akan menggunakan lantikan ini untuk menyerang GRS,” kata Firdausi.

Pada Ogos, Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh memberitahu Parlimen “Bible diputarbelitkan atau diubah” semasa perbahasan mengenai pertambahan hukuman bagi kesalahan memandu kerana minum arak.

Walaupun menerima kecaman daripada masyarakat Kristian Sabah dan Sarawak, Nik Muhammad tetap bertahan dan enggan meminta maaf berhubung kenyataannya.

Berikutan kejadian itu, PAS memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya Sabah bulan lalu tetapi kini dilantik menjadi Adun.

Tidak seperti Semenanjung Malaysia, pengundi Sabah dan Sarawak secara amnya menjauhi PAS kerana prinsip keras parti dalam beberapa isu seperti hudud, judi dan minuman keras.

Hajiji melakar sejarah dengan melantik Setiausaha PAS Sabah Aliakbar sebagai seorang daripada lima Adun yang dilantik ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ketua menteri Sabah melantik lima lagi Adun ke DUN.

Wakil lain yang dilantik adalah bekas ketua menteri Yong Teck Lee, Suhaimi Nasir dan Raimie Unggi daripada Umno, dan Jaffari Walliam serta Aminah Yassin daripada Bersatu.

Aktivis UndiSabah dan peguam Mahirah Marzuki juga menyuarakan kekecewaannya terhadap pelantikan tersebut.

“Saya tidak memilih GRS tetapi saya pasti tidak menyokongnya. PAS tidak pernah popular di Sabah dan bagi mereka untuk dilantik ke DUN adalah mengecewakan kerana rakyat tidak pernah memilih mereka.

“Saya tidak pasti sama ada versi Islam PAS sesuai dengan Malaysia Timur selepas mereka mengkritik Bible dan semua yang lain,” kata Mahirah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Bintang) Jeffrey Kitingan menyifatkan pelantikan Aliakbar ke dalam DUN Sabah sebagai sesuatu yang “malang”, dengan berkata ia mengundang kritikan daripada pihak pembangkang.

Kitingan berkata, walaupun pelantikan itu hak utama ketua menteri, Star berpegang teguh pada prinsip bahawa mana-mana pihak yang aspirasinya tidak sesuai dengan nilai dan sensitiviti rakyat Sabah yang pelbagai budaya dan agama mesti ditolak.

“Pemimpin PAS seringkali mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan dan sentimen Sabah yang berbilang budaya dan agama

“Rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik untuk mengajar mereka mengenai perpaduan antara agama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Majlis Gereja Sabah yang menentang pelantikan pemimpin PAS sebagai Adun Sabah, dan Presiden PBS Dr Maximus Ongkili tidak menjawab panggilan telefon atau pesanan teks daripada The Malaysian Insight. – 9 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen