Pelantikan Adun dari PAS 'malang', kata Kitingan


Desmond Davidson

Presiden Star Jeffrey Kitingan berkata pelantikan wakil PAS itu sebagai Adun adalah hak prerogatif ketua menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) Jeffrey Kitingan menyifatkan pelantikan Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan sebagai Adun adalah “malang”, kerana tindakan itu mengundang kritikan pembangkang.

Kitingan dan partinya, yang merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dikecam kerana gagal menghalang pelantikan Aliakbar.

Aliakbar antara enam individu yang dilantik oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor hari ini.

Kitingan dalam satu kenyataan menjelaskan pelantikan wakil PAS itu adalah hak prerogatif ketua menteri.

Star  katanya tetap berpegang teguh pada prinsip bahawa mana-mana pihak yang aspirasinya tidak sesuai dengan nilai dan sensitiviti rakyat Sabah yang pelbagai budaya mesti ditolak.

“Pemimpin PAS seringkali mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan dan sentimen Sabah yang berbilang budaya dan agama.

“Rakyat Sabah tidak memerlukan perti politik yang mengajar mereka mengenai perpaduan agama.

“Sabah adalah contoh perpaduan pelbagai agama, bersama negeri jiran kami Sarawak,” kata Kitingan dalam kenyataan hari ini.

Beliau sambil itu mengucapkan tahniah atas pelantikan Speaker DUN baharu, lima menteri negeri Kabinet Sabah, 18 timbalan menteri dan enam Adun lantikan.

Timbalan ketua menteri Sabah itu  turut  menjelaskan kenyatannya hari ini tidak harus dianggap sebagai serangan terhadap Aliakbar.

“Saya menyedari masyarakat tidak bersetuju dengan kenyataan seorang pemimpin PAS yang tidak sensitif dengan Bible di Parlimen baru-baru ini,” katanya, merujuk kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh.

“Kenyataan itu sangat menyinggung perasaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, dan Aliakbar sebagai rakyat Sabah memahami realiti di Sabah.

“Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa pelantikan Adun adalah hak prerogatif ketua menteri.

“Aliakbar adalah Adun lantikan yang tidak mempunyai tugas menteri. Beliau belum dilantik ke dalam Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri seperti yang didakwa oleh DAP dan Warisan,” jelasnya.

Kitingan seterusnya meminta rakyat Sabah bertenang dan tidak mudah percaya kepada pembangkang.

“Main politik saja tidak akan bawa kita ke mana-mana.” – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen