KERAJAAN akan mengenakan sekatan pergerakan rentas negeri, jika perlu, bagi membendung penularan Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi keputusan itu akan dimaklumkan kepada rakyat lebih awal.
Katanya, keperluan itu akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Saya memberi jaminan notis yang mencukupi akan diberikan kepada orang ramai sebelum sebarang keputusan dilaksanakan supaya tidak ada sesiapa yang terkandas,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen petang ini.
Muhyiddin menyampai perutusan dari rumah ketika beliau menjalani kuarantin kendiri selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh menteri agama Dr Zulkifli Mohamad yang semalam disahkan dijangkiti Covid-19.
Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac, banyak orang yang terkandas di kampung halaman kerana sekatan pergerakan itu diumumkan ketika awal cuti persekolahan.
Kerajaan kemudian memberikan kelonggaran kepada mereka yang terkandas kerana balik kampung untuk balik ke daerah tempat tinggal masing-masing pada awal Mei.
Setakat ini hanya sembilan daerah di seluruh Malaysia yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan Covid-19, dengan tujuh daerah di Sabah, sementara seluruh negara secara amnya masih dalam keadaan terkawal, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan.
Mengenai rentas negeri melibatkan Sabah, Muhyiddin berkata beliau meminta pindaan ke atas tarikh awal yang diumumkan oleh menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob untuk kemudahan rakyat.
Ismail Sabri awal hari ini mengumumkan sekatan rentas Sabah bermula esok sehingga 20 Oktober.
“Setelah berbincang dengan Dato’ Seri Ismail Sabri, saya telah membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan.
“Keputusan ini saya buat bagi mengelakkan ramai penumpang yang bakal terkandas akibat kesuntukan masa membuat perubahan kepada jadual perjalanan mereka.
“Tarikh baru sekatan pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan berkuatkuasa mulai 12 Oktober 2020, jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober 2020,” katanya.

Sekatan hanya di zon merah
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata buat masa ini semua sekatan seperti yang diperkenalkan pada peringkat awal PKP hanya akan dikenakan ke atas zon merah jangkitan Covid-19, atau daerah yang mempunyai 41 atau lebih kes.
Katanya, Kementerian Pendidikan memantau keadaan kes Covid-19 di sekolah, ketika ibu bapa bimbang dan banyak pihak mendesak sekolah ditutup.
“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.
Muhyiddin juga berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai termasuk persidangan besar dan kenduri kahwin bagi membendung Covid-19.
Hari ini, pihak gereja Katolik menangguhkan kegiatan misa bagi semua gereja di Kuala Lumpur dan Selangor.
Tujuh daerah di Sabah diisytiharkan sebagai zon merah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak, dan Semporna, serta dua di Semenanjung iaitu Klang dan Kota Setar. – 6 Oktober, 2020.
Komen