MENTERI Hal Ehwal Agama Dr Zulkfili Mohamad Al-Bakri pernah ke tiga universiti, membuat lawatan ke Kelantan dan Terengganu serta menghadiri beberapa persidangan sejak pulang dari Tuaran, Sabah pada 24 September.
Walaupun tidak diketahui bila atau bagaimana menteri itu terkena kontak Covid-19, garis masa di akaun Twitter rasminya menunjukkan pelbagai tempat sejak beliau kembali dari Sabah.
Menurut garis masa rasmi Twitter menteri itu, beliau hanya berada di Sabah selama sehari pada 24 September kerana sehari sebelum itu terdapat gambarnya mengagihkan sumbangan dari bank makanan Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada 50 orang di PPR Pinggiran Bukit Jallil di Kuala Lumpur.
Pada 24 September di Tuaran, Zulkfili mengunjungi bekas mufti Sabah Sahibus Samahan Tuan Guru Ismail Abbas dan mengagihkan sumbangan dari bank makanan Yapeim kepada 200 kanak-kanak di Kampung Serusup.
Dalam perjalanan sehari itu, Zulkifli juga singgah di Gerai Kelapa Bakar Kak Tini untuk menikmati puding kelapa sebelum singgah di Kampung Lok Batik di Tuaran untuk melawat beberapa mangsa kebakaran.
Bagaimanapun sekembalinya dari negeri itu, Zulkifli tidak menjalani proses kuarantin dan pergi ke Kelantan pada 25 September.
Kerajaan hanya memutuskan untuk melaksanakan ujian Covid-19 wajib dan kuarantin rumah bagi kemasukan dari Sabah bermula dari 27 September.
Dalam tweet pertama sejak kembali dari Tuaran, Zulkifli berkata beliau singgah di kampungnya di Terengganu untuk mengunjungi keluarga.
Dalam tweet itu, Zulkifli dilihat berpegangan tangan dengan seorang lelaki lebih tua, dengan keterangan: “Singgah bertanya khabar orang tua di kampung. Mohon doa dan restu bagi meneruskan amanah yang diberikan-Nya.”
Selepas itu, Zulkifli memulakan lawatan kerjanya ke Kelantan dengan mengunjungi Pondok Pasir Tumboh.
Susulan itu, menteri tersebut mengadakan perjumpaan balai raya di Kelantan sempena Hari Terbuka Yadim dan menekankan pentingnya membangun ekonomi dan pembangunan diri.
Pada salah satu gambarnya, beliau dilihat duduk di sebelah Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan Tantawi.
“Dengan adanya modal insan yang berkualiti, ia akan mendisiplinkan manusia dalam pembinaan ekonomi seterusnya negara,” kata tweet itu.
Selepas lawatan sehari, Zulkifli kembali ke Putrajaya di mana beliau berhenti minum di warung di Putrajaya dan bertemu beberapa pemuda Melayu dan Cina.
Dalam video yang disiarkan pada garis masa, Zulkifli dilihat memberi cenderamata tanpa pelitup muka di warung.
Sejak pulang dari Kelantan, Zulkifli berkunjung ke tiga universiti untuk menyerahkan pelbagai sumbangan.
Ia termasuk UiTM di Shah Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi pada 4 Oktober dan Universiti Sains Islam Malaysia (2 Oktober).
Di Universiti Sains Islam Malaysia, Zulkifli juga menyampaikan khutbah Jumaat.
Antara beberapa acara besar yang dihadiri menteri sejak kembali dari Tuaran termasuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Qur’an KAFA pada 4 Oktober dan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah selama tiga hari pada 1 Oktober.
Zulkifili mengesahkan beliau positif Covid-19 dalam catatan Facebook hari ini. – 5 Oktober, 2020.
Komen