RAKYAT Malaysia boleh memastikan gelombang kedua tidak berlaku sekiranya kita terus bekerjasama melandaikan keluk jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.
Jelasnya, lonjakan kes yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah petunjuk gelombang kedua wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, terpulang kepada kita sama ada kita boleh landaikan keluk,” katanya.
Beliau juga mengingatkan yang rakyat Malaysia pernah memastikan ramalan kajian JP Morgan yang menjangkakan jangkitan Covid-19 memuncak pada pertengahan April tidak menjadi kenyataan apabila bekerjasama melandaikan keluk jangkitan.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac untuk mengekang penularan wabak dan melandaikan keluk jangkitan.
“Sekarang terpulang kepada kita untuk landaikan keluk. Kita pernah buat sebelum ini dan kita boleh buat sekali lagi dengan landaikan keluk.
“Kita ada pengalaman sekarang berbanding Mac lalu tetapi kita perlukan kerjasama semua orang dengan patuh SOP dan landaikan keluk sekali lagi,” katanya.
“Walaupun kita nampak kes meningkat, jika kita bekerjasama kita boleh jadikan yang mustahil tidak mustahil dengan melandaikan keluk. Kita pernah buat sebelum ini dan kita akan buat sekali lagi,” tambahnya.
Malaysia melaporkan 260 kes baharu hari dengan hanya satu kes import, bakinya kes jangkitan tempatan.
Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini adalah jumlah kes harian kedua tertinggi sejak meledaknya wabak pada Januari, dan jumlah tertinggi sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan pada 9 Jun lalu. – 1 Oktober, 2020.
Komen