Malaysia di peringkat pemulihan, kata Dr Noor Hisham


Malaysia berada di peringkat pemulihan selepas kadar jangkitan tersebut berjaya dikawal, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tahap empat dilonggarkan selepas melihat kejayaan kawalan pada tiga tahap sebelumnya dalam mengawal jangkitan Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia membolehkan Malaysia berada di peringkat pemulihan selepas kadar jangkitan tersebut berjaya dikawal dan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka secara terkawal.

“PKP tahap satu, dua dan tiga berjaya melandaikan lengkuk jangkitan.

“Jelas sekali kita berada di peringkat pemulihan,” katanya yang menambah pertimbangan itu dibuat dengan berhati-hati dengan mengimbangi risiko nyawa dan kesan ekonomi.

Ketika ditanya dalam sidang media hari ini, beliau juga berkata pemantauan ke atas pematuhan garis panduan akan ditingkatkan apabila lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi bermula Isnin.

Untuk langkah seterusnya, tindakan dijalankan untuk menangani jangkitan virus dalam komuniti dan PKP akan diperketat di mana-mana kawasan sekitara terdapat peningkatan kes mendadak.

Kawalan sempadan juga diperketat walau PKP tahap empat dilonggarkan dan perhimpunan serta kegiatan tumpuan ramai masih dilarang, katanya lagi.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terdahulu hari ini untuk membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi bermula 4 Mei.

Senarai SOP bagi membolehkan sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah beroperasi itu mengariskan:

- Penjarakan sosial
- Kerap mencuci tangan
- Memakai topeng muka
- Melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19
- Keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU
- Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan
- Bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

Terdahulu beliau mengumumkan 69 lagi kes baharu dikesan dengan 12 daripadanya kes import dan 57 penularan tempatan, menjadikan kesemuanya 1,758 kes aktif yang sedang dirawat.

Seramai 37 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau juga mengumumkan satu lagi kematian, seorang lelaki 66 tahun dengan latar belakang penyakit barah, menjadikan 103 jumlah korban setakat ini.

Seramai 4,201 lagi sudahpun pulih dan dibenar keluar hospital, memberi jumlah keseluhan kes 6,071 orang. – 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen