BAKAL Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor petang ini menerima surat jemputan untuk ke majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri Sabah, yang dijadual berlangsung pagi esok, lapor Bernama.
Beliau menerima surat jemputan itu daripada Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di Kota Kinabalu, petang tadi.
Hajiji sebelum itu dipetik Bernama berkata beliau dipanggil ke istana, dan tiba kira-kira pukul 3.55 petang.
Awal hari ini, Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama sebagai Gabungan Rakyat Sabah sepakat menamakan Hajiji sebagai calon ketua menteri yang baharu.
Dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu, Hajiji, 65, yang juga pengerusi Bersatu Sabah menang sekali lagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman untuk penggal kelapan.
GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi di DUN Sabah.
Daripada jumlah itu, PN menang 17 kerusi sementara BN 14, semuanya melalui Umno, dan PBS 7 kerusi.
Parti Warisan Sabah dan sekutunya yang bergabung atas nama Warisan Plus pula menang 32 kerusi.
BN sebelum ini mencalonkan Bung Moktar Radin, yang juga Adun Lamag merangkap pengerusi BN dan Umno negeri, sebaga calon ketua menteri.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya mahu Bung Moktar dinamakan ketua menteri selepas Umno dan BN dua kali beralah kepada Bersatu untuk jawatan menteri besar di Perak dan perdana menteri.
Dalam satu kenyataan rasmi petang ini, Zahid berkata beliau menghormati keputusan wakil rakyat GRS yang bersepakat menamakan Hajiji sebagai calon ketua menteri.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh Bung Moktar sendiri keputusan itu “demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan (oleh) kerajaan Warisan sebelum ini.”
“Semoga kerajaan baharu yag dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam akujanji GRS,” katanya.
Pencalonan Hajiji bagaimanapun mendapat sokongan penuh PBS- salah satu parti komponen GRS- yang menyifatkannya sebagai konsisten dengan kehendak parti itu.
Presiden PBS Dr Maximus Ongkili juga yakin Hajiji mampu menjalankan tugas dengan baik kerana pengalamannya sebgaai Adun Sabah selama tujuh penggal.
“PBS juga percaya Hajiji akan mampu melaksanakan mandat yang diberikan rakyat dan mengetuai Sabah dan pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri untuk semua orang Sabah,” kata Ongkili, dipetik Bernama. – 28 September, 2020.
Komen