BN jangka Bung Moktar dilantik ketua menteri Sabah 


SELEPAS dua kali menyerahkan jawatan kerajaan kepada Bersatu, pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu menjangkakan pilihannya Bung Moktar Radin dilantik sebagai ketua menteri Sabah, lapor The Star.

Zahid yang juga presiden Umno berkata beliau telah menulis surat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin menyatakan pilihan gabungan itu.

Ahmad Zahid berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berhutang kepada Barisan.

“Kita telah berikan dua kali – satu di Perak, yang mana Bersatu hanya mempunyai empat Adun dan Umno ada 25.

“Namun kita masih setuju bahawa Adun Bersatu (Ahmad Faizal Azumu) dilantik sebagai menteri besar Perak.

“Juga ketika membentuk kerajaan persekutuan dengan Bersatu dan Gagasan Parti Sarawak, walaupun parti Tan Sri Muhyiddin tidak ada ramai ahli Parlimen, kami setuju untuk beliau menjadi perdana menteri,” beliau dipetik sebagai berkata.

Ahmad Zahid berkata dengan tidak memberi jawatan itu kepada BN akan memberi kesan pada masa hadapan.

“Sekarang bagi kami, jika kita tak dapat Barisan (Adun) sebagai ketua menteri di Sabah, Barisan akan menanggung terlalu banyak kesan di masa depan.

“Kajian kami menunjukkan impaknya tidak baik untuk Barisan. Saya tidak akan bersetuju untuk Bung akur kepada orang lain di luar Barisan untuk menjadi ketua menteri. Tidak,” Zahid dipetik sebagai berkata.

Beliau menyatakan bahawa pelantikan ketua menteri adalah hak prerogatif namun beliau mengharapkan agar Juhar memilih Bung Moktar.

Juhar dijangka akan mengumumkan pilihannya hari ini.

Parti GRS memenangi 38 kerusi, membolehkannya membentuk kerajaan negeri di Sabah dengan majoriti mudah.

Pesaing terdekatnya Warisan menang 29 kerusi, dan sekutunya PKR dan Upko masing-masing memenangi satu dan dua kerusi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi mereka 32.

Calon bebas pula menang tiga kerusi.

GRS adalah gabungan Perikatan Nasional yang memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14) dan Parti Bersatu Sabah (7).

Penubuhan gabungan itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum pilihan raya. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen