Hishammuddin Hussein diarah kuarantin di rumah


Hishamuddin Hussein mengesahkan beliau diarah menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan bermula hari ini. – Gambar Facebook, 28 September, 2020.

MENTERI Luar Negeri Hishamuddin Hussein mengesahkan beliau diarah menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan bermula hari ini, selepas mempunyai kontak rapat dengan calon Barisan Nasional (BN) yang positif Covid-19.

“Memandangkan baru- baru ini saya telah pergi ke Pitas bagi membantu kempen calon BN bagi DUN Pitas Sufian Abdul Karim yang telah disahkan positif Covid- 19, hari ini saya diarahkan oleh Kementerian Kesihatan agar jalani kuarantin diri di rumah.

“Biarpun saringan awal yang dibuat kepada saya sebaik tiba dari Sabah tempoh hari negatif,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Pada hari pengundian Sabtu lalu, Sufian mendedahkan beliau sah positif Covid-19 dan memohon maaf kepada semua pengundi serta semua pihakyang membantunya sepanjang tempoh kempen.

Beberapa pemimpin politik dan pegawai yang berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah sejak 12 September lalu juga sebelum ini diarah menjalani kuarantin.

Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agong BN Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, serta Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki selepas dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Muhammad Rafii sebelum ini dilaporkan positif sementara Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan mengesahkan dirinya positif.

Seorang setiausaha politik kepada menteri di Putrajaya juga difahamkan positif Covid-19.

Mulai semalam semua penumpang pesawat penerbangan yang tiba dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 di pintu masuk lapangan terbang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Dr Noor Hisham juga mengumumkan pihak Kementerian Kesihatan mengesan tiga kluster baharu iaitu dua di Sabah dan satu di Kuala Lumpur yang jangkitannya berasal dari Sabah.

Kementerian Kesihatan juga mengesan 15 kes baharu di lima negeri dan wilayah di Semenanjung semalam yang melibatkan individu yang pulang dari Sabah. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen