Ketua Penerangan Umno positif Covid-19


Chan Kok Leong

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen di Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

KETUA Penerangan Umno Shahril Hamdan menjadi ahli politik terbaru yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang berkempen di Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam satu muat naik di Twitter pagi ini Shahril berkata beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan Covid-19 hari ini.

“Positif COVID-19. Tiada simptom yang ketara melainkan penat sedikit. Buat keputusan untuk ambil ujian semalam di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes melonjak naik, kerana saya terlibat berkempen di Sabah.

“Baru menerima panggilan dan akan dimasukkan ke hospital hari ini. Saya memohon maaf atas kesulitan yang bakal dihadapi orang-orang yang menjadi kontak rapat saya,” tulisnya di Twitter. 

Shahril menjadi pemimpin kedua Umno yang didapati positif selepas ahli majlis tertinggi parti itu Mohd Razlan Rafii dimasukkan ke Hospital Kota Kinabalu pada Isnin.

Seperti Shahril, Razlan juga berkempen dalam pilihan raya Sabah.

Selain kedua-dua mereka, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menjalani saringan Covid-19 namun disahkan negatif, kata peguam bela utamanya Hisyam Teh Poh Teik kepada Malay Mail pagi ini.

Semalam, peguam Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa presiden Umno itu menjalani pemeriksaan di Hospital KPJ Tawakkal di Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan permohonan Zahid menjadualkan semula perbicaraannya sementara menunggu keputusan ujian kedua Covid-19.

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Seperti Razlan dan Shahril, Zahid juga mengikuti kempen dalam pilihan raya Sabah.

Menurut Barisan Nasional Sabah, Zahid dijadualkan kembali ke Sabah esok untuk meneruskan kempen.– 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen