RASA tanggungjawab terhadap demokrasi dan rakyatlah yang membuatkan bekas menteri Zaid Ibrahim mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter beliau berkaitan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Zaid yang juga ahli DAP berkata, itulah antara kenyataan yang diberikan beliau dalam sesi soal siasat di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini, selain menambah polis bersikap profesional dan hanya menyoal mengenai tweet beliau itu.
“Ia berkaitan tweet (itu) sebab saya yang mengatakan Sultan Selangor perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan dan saya jelaskan tweet itu adalah respon daripada kenyataan Sultan tentang Dr Mahathir (Mohamad),” katanya kepada wartawan di Bukit Aman hari ini.
Minggu lepas, melalui tweet terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, Zaid berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
Kenyataan tweet Zaid itu sebagai respon terhadap kenyataan Sultan yang bertitah, amarah Dr Mahathir itu akan “membakar negara.”
Sultan Sharafuddin menganggap kenyataan Zaid itu bermaksud supaya “menjaga mulut” bila mengkritik Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Zaid menegaskan tweet beliau itu adalah pandangan peribadinya bukan mewakili mana-mana pihak atau parti pembangkang.
“Itu kenyataan saya dan saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan peranan seperti saya kata tadilah, (iaitu) Raja berperlembagaan bagaimana kita harus menjaga negara ini, mengekalkan sistem demokrasi ini dengan memahami apa yang perlu dilakukan oleh semua pihak,” katanya menambah beliau mungkin akan dipanggil polis sekali lagi jika diperlukan yang menurutnya adalah perkara normal.
“Kalau perlu, mereka akan panggil saya lagi. Itu biasalah. Polis boleh panggil awak bila-bila masa. Saya kata saya tiada cuti. Bila-bila (saya) boleh datang,” katanya.
Dalam temuramah khas dengan akhbar The Star, Sultan Sharafuddin bertitah baginda memandang serius kenyataan Dr Mahathir terhadap masyarakat Bugis, yang menurut Dr Mahathir ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak.
Sultan juga bertitah Dr Mahathir “tidak pernah meminta maaf.”
Tweet Zaid itu turut membangkitkan amarah Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos yang bertindak balas dengan membakar dua kadbod berupa Zaid ketika Perhimpunan Agung Umno ke-71 minggu lalu.
Bagaimana pun Zaid mempertahankan tweet beliau itu dengan berkata ianya bukan untuk mempertahankan Dr Mahathir tetapi mempertahankan hak rakyat untuk menentukan keputusan politik dan kerajaan.
Turut hadir bersama Zaid ialah Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng dan ahli jawatankuasa DAP Ronnie Liu. – 13 Disember, 2017.
Komen