Industri penerbangan gesa ujian pantas virus dibangunkan


IATA berkata ujian pantas adalah penyelesaian yang diperlukan untuk melancarkan semula hubungan udara global berbanding arahan kuarantin bagi mengesan Covid-19. – Gambar EPA, 23 September, 2020.

INDUSTRI penerbangan global menggesa pada Selasa agar ujian pantas virus dibangunkan untuk semua penumpang sebelum keberangkatan sebagai alternatif arahan kuarantin, dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata ujian pantas adalah penyelesaian yang diperlukan untuk melancarkan semula hubungan udara global, yang merudum lebih enam bulan lalu apabila negara menutup sempadan bagi mengawal wabak tersebut.

Sebilangan besar ujian virus dilakukan dengan menggunakan ujian molekul yang memakan masa beberapa hari untuk mendapatkan hasilnya, tetapi ujian lebih cepat sedang dibangunkan.

“Kunci untuk mengembalikan kebebasan bergerak melintasi sempadan adalah ujian Covid-19 sistematik bagi semua pelancong sebelum berlepas,” kata Ketua IATA Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

“Ini akan memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk membuka sempadan mereka tanpa model risiko rumit yang menyaksikan perubahan berterusan dalam peraturan dikenakan terhadap perjalanan.”

Perjalanan antarabangsa kini 92% di bawah tahap 2019, kata IATA.

Walaupun beberapa kerajaan membuka kembali sempadan mereka, masih ramai enggan melakukan perjalanan kerana peraturan kuarantin dan perubahan yang sering berlaku terhadap sekatan virus yang menyukarkan perancangan, katanya.

Organisasi berpusat di Geneva, yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan dengan 82% lalu lintas udara global, memberi amaran sekurang-kurangnya 65.5 juta pekerjaan bergantung kepada industri penerbangan.

“Penderitaan manusia dan ekonomi global krisis akan berterusan jika industri penerbangan ... runtuh sebelum wabak itu berakhir,” katanya.

IATA juga memberi amaran sokongan kerajaan diperlukan untuk mengelakkan kejatuhan yang semakin meningkat.

“Pendapatan yang hilang dijangka melebihi $400 bilion dan industri akan mencatat kerugian bersih lebih $80 bilion pada 2020.”

De Juniac mendesak kerajaan dan penyedia ujian perubatan “mencari penyelesaian ujian yang cepat, tepat, berpatutan, mudah dikendalikan, dan berskala yang akan memungkinkan dunia dihubungkan semula dan pulih dengan selamat”. – AFP, 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen