Khairuddin saman akhbar Cina


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menuntut ganti rugi RM1 juta kerana penggunaan foto peribadinya bersama isteri ketika di Belanda dan mengaitkannya dengan lawatan ke Turki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2020.

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation kerana fitnah berhubung penggunaan foto peribadi lawatan ke Belanda dan mengaitkan ia dengan lawatan ke Turki baru-baru ini, lapor Kosmo! 

Beliau menuntut ganti rugi RM1 juta kerana penggunaan foto peribadinya bersama isteri dan mendakwa mereka bercuti ketika berada di Turki untuk urusan rasmi pada Julai.

Khairuddin mencetuskan kontroversi selepas pulang dari Turki pada 7 Julai apabila tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari bagi pemeriksaan Covid-19 yang diperlukan bagi sesiapa yang memasuki negara ini dari luar negara.

Beliau kini dalam siasatan polis berhubung pelanggaran kuarantin.

Sin Chew Daily menerbitkan foto tersebut dalam sebuah artikel pada 1 September ketika melaporkan dakwaan Khairuddin dan keluarga pergi bercuti ke luar negara ketika sempadan Malaysia ditutup bagi perjalanan tidak penting kerana wabak itu.

Sin Chew Daily juga menyiarkan foto tersebut di laman Facebook, yang menyebabkan ia dikongsi secara meluas.

Saman Khairuddin difailkan melalui firma guaman Zulpadli & Edham yang menyerahkan notis kepada Sin Chew bertarikh 14 September.

Dalam notis itu, peguam berkata penggunaan foto peribadi anak guam mereka menimbulkan persepsi negatif terhadapnya.

Sin Chew Daily juga diminta untuk segera memadamkan foto dan artikel tersebut dan membuat permohonan maaf tanpa syarat kepada Khairuddin dalam masa tujuh hari daripada notis itu. – 18 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen