Khairuddin tak ikhlas minta maaf, kata Kit Siang


Khairuddin Aman Razali kini sedar beliau tidak boleh disentuh kerana kerajaan Muhyiddin Yassin sangat rapuh walaupun berkata tiada pilih kasih penguatkuasaan SOP Covid-19, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

PERMOHONAN maaf Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali kerana melanggar arahan kuarantin kendiri tidak ikhlas, kata veteran DAP Lim Kit Siang, hari ini.

Menteri PAS malah berkata kesalahan dibuatnya tidak ada kaitan dengan bidang tugasnya, tambah Lim.

“(Beliau) langsung tidak ikhlas dan mengambil kesempatan apabila sekarang mendakwa beliau tidak buat apa-apa kesalahan dalam pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 ketika kembali dari Turki.

“Cara Khairuddin bercakap semalam pada Pilihan Raya Kecil Slim menunjukkan kesedaran baharunya tentang betapa beliau selaku menteri tidak boleh disentuh….sebabnya mudah, hanya kerana kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sangat rapuh dan ia akan tumbang jika perdana menteri menguatkuasa prinsip tiada sesiapa lebih tinggi berbanding undang-undang,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, tindak tanduk Khairuddin adalah bukti yang Muhyiddin “bercakap kosong” apabila berkata tidak ada sikap pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang.

Muhyiddin sebelum ini dilapor berkata yang pihak berkuasa akan menyiasat Khairuddin kerana melanggar peraturan kuarantin.

Setakat ini, permohonan maaf Khairuddin kerana melanggar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu termasuklah derma empat bulan gaji kepada tabung Covid-19 kerajaan dan berkata beliau sudah membayar kompaun RM1,000.

Turki melaporkan lebih 260,000 kes Covid-19 buat masa sekarang. 

Selepas Khairuddin pulang dari negara itu, beliau hadir majlis di kawasannya, Kuala Nerus, malah hadir sidang Parlimen.

Tambah Lim lagi, “cerita penuh” menteri ingkar itu masih tidak jelas dan mempersoalkan mengapa Khairuddin memilih untuk menderma empat bulan gaji jika yakin tidak bersalah.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada lawatan Khairuddin ke Turki mendapat kebenaran perdana menteri dan mengapa menteri itu dan ahli delegasinya tidak memakai gelang tangan merah jambu kuarantin dan diasingkan selama 14 hari mengikut prosedur.

Lim turut mendesak butiran lanjut mengenai “ujian khas” terhadap menteri itu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Khairuddin sudah disoal siasat polis selama tiga jam berkaitan isu pelanggaran kuarantin yang mencetuskan kemarahan rakyat seluruh negara. – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen