Repatriasi rakyat Malaysia terjejas akibat Covid-19 tak terdesak seperti dulu, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata Wisma Putra telah menguruskan proses membawa pulang lebih 26,000 rakyat Malaysia yang terjejas di luar negara ekoran masalah penerbangan dan had perjalanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.

PROSES repatriasi rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19 ketika berada di luar negara tidak terdesak seperti dahulu, kata Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar. 

Beliau berkata Wisma Putra telah menguruskan proses membawa pulang lebih 26,000 rakyat Malaysia yang terjejas di luar negara ekoran masalah penerbangan dan had perjalanan. 

“Keadaan sekarang tidak terdesak seperti dahulu. Boleh dikatakan hampir kesemua rakyat Malaysia yang hendak (pulang) telah dibawa pulang. 

“Jadi yang ada (sekarang) agak kecil jumlah mereka yang baru buat keputusan hendak balik, itu akan sentiasa dipantau,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan cek sumbangan RM1 juta oleh kerajaan Malaysia kepada Kedutaan Besar Lubnan di Wisma Putra hari ini.

Menurut Kamarudin, kumpulan jemaah tabligh di India masih dalam proses untuk dibawa balik kerana mereka terpaksa menjalani proses perundangan di India atas tuduhan salah guna visa lawatan. 

“Wisma Putra melalui kedutaan dan pejabat konsul di India sedang menguruskan hal ini. Apabila selesai sahaja kes mahkamah, kami akan bawa mereka balik,” katanya. 

Pada Mei lepas, Kamarudin dilaporkan berkata seramai 55 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di New Delhi pada Mac lepas didakwa menyalahgunakan visa lawatan. 

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata Wisma Putra akan memaklumkan pendirian kepada kerajaan China sekiranya terbukti dakwaan syarikat China mengumpul 1,400 data rakyat Malaysia.

“Jika perkara ini benar dan ada fakta, kami akan ambil tanggungjawab dan mengadakan pengurusan untuk memberikan kepada pihak Beijing tentang pandangan dan pendirian kami,” katanya.

Sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan mengenai firma China yang mempunyai kaitan tentera dan perisikan di China didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Terdahulu pada acara itu, Kamarudin menyerahkan cek cura kepada Duta Besar Lubnan di Malaysia, George Bitar Ghanem untuk bantuan kemanusiaan berikutan tragedi letupan di Beirut pada 4 Ogos.

Kamarudin berkata Malaysia amat sedih dengan insiden letupan besar yang menyebabkan 190 orang terkorban dan lebih 6,500 mengalami kecederaan. 

“Tragedi itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar dan menyebabkan 300,000 orang hilang tempat tinggal,” katanya. 

Dana daripada Tabung Bantuan Bencana Negara itu akan disalurkan kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas dalam tragedi itu. – Bernama, 15 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen