81 rakyat Malaysia di Itali dibawa pulang


Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar berkata, kesemua mereka akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

SERAMAI 81 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Itali, setelah terkandas susulan penularan pandemik Covid-19, selamat tiba di tanah air pagi ini, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi tadi, dan langsung dibawa ke pusat kuarantin di Nilai yang diselia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Setibanya di Malaysia, kesemua mereka akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata Kamarudin dalam satu kenyataan hari ini.

Rakyat Malaysia, yang kebanyakannya belajar di Itali serta pegawai kedutaan Malaysia di sana, dibawa pula dengan menaiki pesawat sewa khas Air Asia, yang turut membawa pegawai dari Wisma Putra, Nadma dan Kementerian Kesihatan.

Mereka yang pulang ini adalah yang memohon untuk pulang daripada keseluruhan 323 orang yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Rome, lapor media.

Ini adalah misi keempat pihak berkuasa membawa pulang rakyat Malaysia yang tersangkut di luar negara setelah Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum ini Wisma Putra menguruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China dan Iran.

Itali adalah antara negara yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 selepas China, dengan 7,503 kematian daripada 74,386 yang dijangkiti. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen