WALAUPUN sudah tujuh bulan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, golongan ibu tunggal masih berusaha untuk meneruskan kehidupan dan menyesuaikan diri dari segi kewangan.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bagaimana sekatan itu memberi kesan terhadap golongan ibu tunggal yang perlu bergantung pada bantuan kerajaan dan daripada kumpulan sukarelawan.
Situasi itu bagaimanapun tidak bertambah baik walaupun sudah memasuki fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membolehkan banyak perniagaan kembali beroperasi seperti biasa.
Rata-rata golongan ibu tunggal yang ditemui oleh The Malaysian Insight berdepan masalah kewangan yang semakin meningkat kerana bantuan seperti moratorium bank akan berakhir pada hujung bulan ini.
Salah seorang daripada mereka, Aisyah yang merupakan ibu kepada dua orang anak berkata kemungkinan besar dia tidak dapat membayar bil elektrik, kereta dan rumah kerana tidak mampu.
“Saya sudah berusaha untuk mendapatkan duit lebih-lebih sekarang kerana kita dah mula untuk kembali bayar bil.
“Saya perlu cari duit untuk menampung semua bil yang tertunggak,” katanya yang berusia 34 tahun dari Shah Alam, Selangor yang tidak mendapat bantuan kewangan daripada bekas suaminya untuk membesarkan anak-anak mereka.
Aisyah juga terpaksa menggadai barang emasnya tetapi dengan keadaan kewangan sekarang dia tidak tahu adakah dia akan dapat menebus kembali barang yang digadaikannya.
Aisyah juga telah memberhentikan seorang anaknya dari pra-sekolah kerana tidak lagi mampu membayar yuran.
Sebelum wabak itu Aisyah merupakan pembeli peribadi sepenuh masa yang keluar ke negara luar seperti China, Indonesia dan Vietnam untuk membeli barang untuk pelanggan.
Namun selepas kerajaan menutup sempadan untuk memutuskan rantaian jangkitan koronavirus, Aisyah seperti ramai yang lain sukar untuk bertahan tanpa sumber pendapatan tetap.
Dia mula menjual pelbagai barangan di internet dan melalui WhatsApp seperti ikan, jagung, lai chi kang dan juga bantal.

Kini Aisyah banyak menjual pakaian dan aksesori di laman Facebooknya.
Dia kini hidup dengan gaji mingguan bergantung kepada berapa banyak yang dia dapat dari perniagaan di dalam talian. Namun dia tidak mahu menyatakan jumlahnya.
“Saya hanya mengutamakan insurans anak-anak saya dan selebihnya hanya untuk makanan dan barang asas yang lain. Saya tidak mampu menyimpan kerana memerlukan duit untuk modal berniaga,” katanya.
Tinjauan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengenai kesan Covid-19, “Keluarga di Pinggiran” mendapati bahawa 76% ketua isi rumah wanita tidak dapat menyimpan wang semasa PKP.
Di antara ketua isi rumah wanita, tinjauan juga mendapati bahawa hanya lima dari 100 mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan lebih dari tiga bulan.
Aisyah berkata dia kini sedang berusaha mendapatkan pinjaman agar perniagaan kecil dan sederhananya berkembang agar dia dapat menjana lebih banyak pendapatan serta diharapkan dapat menyelesaikan hutang yang tertunggak.
Penjual kek Norbiyah Anwar, 40, dari Kuala Lumpur memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak PKP dia terus menjual kek dan menjual biskut di atas talian.
Ibu kepada dua anak itu mampu mendapat sekurang-kurangnya RM2,100 setiap bulan tetapi kini dia hanya memperoleh RM1,500.
Bagaimanapun Norbiyah berkata pendapatan bulanannya tidak stabil.
Ketidakstabilan itu juga didedahkan dalam tinjauan Unicef yang menunjukkan bahawa ketua isi rumah wanita yang mampu mendapat RM1,000 pada 2019 menurun kepada RM675 pada 2020.
Oleh kerana itu seperti Aisyah, Norbiyah berkata dia akan menangguhkan bayaran beberapa bilnya atau cuba membayarnya secara ansuran.
Kedua-dua anak Norbiyah berusia 17 dan 12 tahun berada di bawah jagaannya serta tidak mendapat bantuan kewangan daripada ayah mereka yang menjadikan Norbiyah satu-satunya pencari nafkah dan penjaga anak-anaknya.

Norbiyah berkata dia juga tidak akan dapat membayar yuran asrama salah seorang anaknya yang berjumlah RM500 setiap tahun.
“Ketidakmampuan saya membayar yuran sekolah asrama penuh anak saya mungkin menyebabkan dia tidak dapat menduduki peperiksaan SPM atau sekolah tidak akan memberikan keputusannya sehingga saya menyelesaikan yuran,” katanya.
Sementara itu Hafisah, seorang tukang jahit berusia 44 tahun dari Keramat, Kuala Lumpur berkata bahawa dia belum dapat membayar sewa rumahnya termasuk kedai jahitnya kerana pendapatannya masih berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Pendapatan saya masih perlahan dan kerana saya menjalankan kedai jahit, semuanya bergantung pada tempahan pelanggan,” katanya.
Hafisah berkata dia memerlukan pendapatan minimum RM2,000 setiap bulan untuk bertahan tetapi dalam beberapa bulan terakhir dia hanya mendapat RM500.
Di bawah PKPP, satu-satunya bantuan yang diterima oleh Hafisah adalah skim Bantuan Sara Hidup yang hanya diberikan tiga kali setahun.
Semasa PKP Hafisah terpaksa hidup dengan hanya RM20 sehari kerana tiga daripada empat anaknya diberhentikan kerja.
Dia juga menerima bantuan tunai Bantuan Prihatin selain sumbangan daripada masyarakat.
Hafisah berkata dia masih berusaha untuk mendapatkan duit dan kemungkinan besar tidak akan menyelesaikan tunggakan hutangnya seperti elektrik, air dan sewa rumah kerana tidak mampu.
Dia berharap kerajaan akan melanjutkan moratorium bil elektrik dan air. – 15 September, 2020.
Komen