Bersatu tawar Hajiji calon ketua menteri


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kanan), calon DUN Sulaman, Hajiji Noor (tengah) dan pemimpin BN, Rahman Dahlan semasa proses penamaan calon RPN di Tuaran, Sabah, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2020.

KETUA Bersatu Sabah Hajiji Noor bakal ketua menteri Sabah sekiranya parti lain dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) setuju, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bersatu menawarkan Hajiji sebagai calon ketua menteri sekiranya parti-parti yang bekerjasama atas nama Gabungan Rakyat Sabah menang pilihan raya negeri pada 26 September ini, katanya.

“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk memimpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji.

“Ini juga memerlukan persetujuan dari sekutu Bersatu,” katanya dalam ucapan di perkarangan pejabat Bersatu Tuaran, hari ini.

Muhyiddin mengumumkan nama Gabungan Rakyat Sabah dalam ucapan yang sama.

Dalam pilihan raya negeri Sabah, PN dibentuk bersama Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sementara BN terdiri daripada Umno, PBRS, MCA.

PBS bersekutu dengan kedua-dua gabungan itu dan bertanding dengan logonya sendiri, yang kali terakhir dipakai dalam pilihan raya pada 1999.

Muhyiddin berucap ketika hadir memberikan sokongan kepada Hajiji yang mengemukakan kertas pencalonan bertanding di DUN Sulaman, kerusi yang disandangnya sejak 1990.

Sulaman adalah satu daripada tiga kawasan pilihan negeri di bawah kawasan Parlimen Tuaran, selain Kiulu dan Tamparuli.

Hajiji dicabar calon Parti Cinta Sabah Rekan Hussien dan Aliasgar Basir yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, Hajiji dipetik berkata calon ketua menteri akan dibincangkan dengan parti lain.

“Saya tidak dimaklumkan secara khusus dan rasmi. Apa-apa pun kita dengan parti rakan Umno, BN dan juga PBS serta PN akan menyelesaikan isu ini apabila tiba masanya,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Dalam pada itu, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata cadangan Bersatu itu menunjukkan kerjasama parti lawannya tidak sepakat, berbanding pihaknya yang hanya ada seorang calon ketua menteri.

Umno sebelum ini membayangkan Bung Moktar Radin yang juga pengerusi badan perhubungan parti negeri sebagai calon ketua menteri.

Hajiji adalah antara 19 calon Bersatu yang bertanding atas tiket PN bersama 8 calon Star dan 2 calon SAPP.

Hajiji adalah antara 6 calon yang dikekalkan bertanding kerusi Bersatu, ketika Umno sebelum ini dilaporkan menuntut kerusi yang mereka menangi atas tiket parti itu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Daripada lapan kerusi bekas wakil rakyatnya itu, Umno hanya bertanding semula di dua kerusi iaitu di Usukan dan Lumadan.

Hajiji dan gerombolan pemimpin Umno Sabah keluar parti pada Disember 2019 untuk menyertai Bersatu. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen