Pembangkang tak sepakat calon KM Sabah, kata Shafie Apdal


Warisan Plus hanya mempunyai seorang calon ketua menteri Sabah, kata Mohd Shafie Apdal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2020.

TIDAK seperti pembangkang, Warisan Plus hanya mempunyai seorang calon ketua menteri Sabah, kata Mohd Shafie Apdal.

“Ini menunjukkan mereka tidak sepakat,” kata ketua menteri sementara itu kepada pemberita selepas proses pencalonan bagi kerusi Senallang di Semporna pagi tadi.

“Mereka ada banyak parti, kita juga begitu. Kita ada PKR, Amanah, DAP dan Upko. Tetapi bagi Warisan Plus, hanya seorang saja calon ketua menteri.”

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mengulas peluang Warisan Plus melawan pembangkang yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Mereka kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

PN pula terdiri daripada Bersatu, SAPP dan Star, manakala BN meletakkan calon dari Umno, MCA dan PBRS.

Walaupun PN mentadbir kerajaan persekutuan tetapi Sabah ditadbir oleh Warisan sejak pilihan raya umum 2018. 

Sehingga ke hari ini pembangkang masih belum sepakat siapa perlu dicalonkan sebagai ketua menteri Sabah.

Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencadangkan nama Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri jika mereka berjaya mengalahkan Warisan Plus dalam PRN.

BN pula telah memberi isyarat untuk menamakan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin dengan meletakkan ahli Parlimen Kinabatangan itu bertanding di satu kerusi DUN.

Lebih rumit lagi, Muhyiddin berkata pembangkang akan membentuk kerajaan gabungan baharu dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah jika menang dalam PRN pada 26 September ini.

Shafie akan mempertahankan kerusi DUN Senallang dalam pertembungan lima penjuru melibatkan calon dari PN, USNO, PCS and PPRS.

Sementara itu, Shafie enggan mengulas mengapa bekas ketua menteri Musa Aman tidak mengemukakan pencalonan hari ini.

“Sama ada dia bertanding atau tidak, Warisan Plus masih perlu menang pilihan raya ini untuk menjadi kerajaan semula,” katanya.

Bernama melaporkan Musa tidak kelihatan di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Libaran di Sandakan sehingga tempoh penamaan calon berakhir pada 10 pagi.

PRN Sabah diadakan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 30 Julai lalu ketika ada cubaan oleh Musa untuk membentuk kerajaan selepas beberapa wakil rakyat penyokong kerajaan Warisan berpaling tadah.

Tempoh kempen rasmi selama dua minggu bermula hari ini sebelum pengundian berlangsung pada 26 September. – 12 September, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen