M. Indira Gandhi meminta Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador untuk berhenti memberi perhatian kepada bekas suaminya dan mencari anak perempuannya Prasana Diksa.
Menurutnya dia tidak berminat dengan usaha polis untuk mengesan dan berunding dengan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.
Katanya dia hanya mahukan anak perempuannya dikembalikan.
“Dia (KPN) fokus untuk berunding dan membawa Riduan kembali ke Malaysia tetapi kami tidak peduli dengannya. Kami hanya mahu ambil tahu tentang Prasana.
“Di mana Prasana? Adakah dia bersamanya atau dia tinggal berasingan? Mereka perlu mencarinya.
“Kesejahteraannya adalah keprihatinan kami, bukan Riduan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Indira memberi respons kepada Hamid yang mengatakan akan menggunakan perantara untuk berunding dengan Riduan agar dia kembali ke Malaysia dan menyerahkan anak bongsu mereka.
Terdahulu PDRM memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut antara Indira dengan bekas suaminya yang kini berada di luar negara.
Abdul Hamid berkata pihaknya mahu menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak supaya Indira Gandhi dapat disatukan semula dengan anaknya, yang kini berusia 11 tahun.
Menurutnya polis tidak pernah berdiam diri dalam menyelesaikan kes itu, malah telah melantik seorang pegawai kanan tinggi untuk menghubungi dan berunding dengan Muhammad Riduan, agar dia dapat mengikut perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini.
“Kita mempunyai masalah kekangan untuk membawa beliau (Muhamad Riduan) balik ke sini (Malaysia). Bagaimanapun, kita sentiasa berunding sejak tahun lepas untuk memujuk beliau walaupun tidak dapat bersemuka antara kedua-dua pihak,” katanya. – 11 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen