BELAJAR di sekolah vernakular tidak mengurangkan patriotisme dan identiti nasional individu, kata kumpulan akademik hari ini.
Setiausaha Agung Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), Profesor Madya Rosli H Mahat berkata, bahasa bagi pendidikan tidak menentukan tahap patriotisme di kalangan pelajar.
Beliau juga membantah gesaan dibuat oleh beberapa pihak untuk menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.
“Apa kaitan bahasa dengan anda sama ada anda patriotik atau tidak?
“Apa sahaja bahasa yang anda pelajari tidak menentukan betapa cintanya anda kepada negara ini,” kata Rosli kepada media hari ini.
Bulan lalu, ketua Pemuda Bersatu yang baharu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau menyokong pendirian Pemuda Bersatu untuk menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.
Dalam satu kenyataan, timbalan menteri belia dan sukan itu berkata sekolah vernakular tidak menghasilkan pelajar dengan identiti nasional yang kuat dan penubuhannya masih bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Rosli hari ini berkata lebih ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular atau antarabangsa berbanding sekolah kebangsaan, dengan alasan kualiti pendidikan.
Beliau berkata kerajaan perlu menangani masalah sistem pendidikan di sekolah kebangsaan sebelum mengecam sistem pendidikan lain.
“Dengan kualiti pendidikan kita sekarang, saya rasa lebih banyak orang ingin ke sekolah Cina atau antarabangsa daripada meneruskan pembelajaran di sekolah kebangsaan.
“Apabila ada pelajar Melayu masuk ke sekolah Cina, pasti ada sesuatu yang orang suka.
“Jadi, mengapa ada ibu bapa tidak suka sekolah kebangsaan? Bukankah ia sistem terbaik yang kita ada? Jika benar, mengapa tidak ramai ingin masuk atau belajar di sana? Ini adalah persoalan yang harus dijawab,” katanya.
Rosli berkata dengan rakyat Malaysia yang datang daripada latar belakang yang pelbagai, Gerak menyokong sepenuhnya penubuhan sekolah vernakular dan ia harus dibenarkan terus wujud.
Beliau memberitahu perkara ini kepada media di luar acara anjuran Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang melancarkan sajak-video Obor Akinabalu.
Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji juga menyuarakan sentimen yang sama dengan Rosli, dan berkata orang hanya menimbulkan masalah tanpa sebab.
Beliau berkata sekolah vernakular sudah ada sebelum merdeka dan menambah warna di negara ini.
“Sekolah vernakular bermula sebelum kemerdekaan dan berlanjutan hingga hari ini. Saya tidak melihat wujudnya sebarang masalah.
“Sebenarnya, sekolah vernakular bagus kerana sekolahnya sangat pelbagai. Ada pihak sengaja menimbulkan isu mengenainya,” kata beliau. – 11 September, 2020.
Berita penuh di sini
Komen