BERSATU menyelar pihak yang didakwa cuba menggagalkan penyatuan Melayu sehingga sanggup menyebar tohmahan ke atas Presidennya Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, tohmahan ke atas presiden yang digelarnya sebagai “Abah” itu merupakan tindakan biadab oleh “musuh dalam selimut”.
“Amat malang kerana ada beberapa individu yang masih tidak mahu orang Melayu bersatu. Mereka adalah musuh dalam selimut yang menjadi agen memecah belahkan orang Melayu.
“Mereka aktif menyebar pelbagai tohmahan termasuk kepada Muhyiddin Yassin, yang rakyat sayangi sebagai seorang Abah.
“Tindakan sebegini menyalahi adab dalam bersahabat dan keterlaluan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah Wan Saiful, pemimpin-pemimpin parti mesti memainkan peranan memastikan perpecahan tidak berlaku.
“Semua pihak termasuk pemimpin parti-parti sahabat harus lebih tegas memastikan juak-juak perpecahan tidak terus merosakkan bangsa.
“Jangan beri ruang kepada musuh dalam selimut yang ada agenda jahat, tidak mahu orang Melayu bersatu,” tegasnya yang tidak menamakan “musuh dalam selimut” itu.
Wan Saiful menambah, rakyat kini mahu kerajaan yang menjaga kebajikan dan berkhidmat kepada rakyat, bukan yang berpolemik semata-mata.
Gesaannya itu timbul ketika Bersatu yang memimpin kerajaan kini bergelut dalam rundingan agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri Sabah, dan juga pilihan raya umum.
Antara perkembangan yang menjadi perhatian adalah majlis pengumuman calon pilihan raya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang sepatutnya berlangsung hari ini.
Majlis tersebut dilaporkan bertukar majlis ramah mesra pada saat akhir dan Umno mengumumkan parti Bersatu, MCA dan PBRS akan mengumumkan calon dalam majlis berasingan.
Seramai 31 calon yang diumumkan Umno Sabah hari ini antaranya membariskan ketuanya Bung Moktar Radin dan bekas ketua menteri Salleh Said Keruak.
Bekas ketua menteri Musa Aman yang gagal mencabar keputusan pembubaran DUN Sabah tidak tersenarai. – 10 September, 2020.
Komen