Muhyiddin hanya dipuji dalam isu Covid-19, kata Mukhriz


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir pada sidang media di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2020.

KAJI selidik menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat pujian tinggi hanya dalam menangani wabak Covid-19, kata Mukhriz Mahathir.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, presiden Bersatu hanya tutup mulut dalam pelbagai isu yang lain.

“Kerajaan hari ini yang diterajui Muhyiddin hanya ada satu isu iaitu isu Covid-19. Tiada apa yang Perikatan dah buat mengenai isu perumahan atau isu pendidikan.”

“Sekiranya anda mahu buat penilaian berdasarkan satu isu sudah pasti akan mendapat sokongan yang tinggi,” kata Mukhriz ketika ditemui selepas sidang media di Putrajaya hari ini.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas populariti Muhyiddin dalam kaji selidik yang dijalankan Merdeka Centre dari Julai hingga Ogos tahun ini.

Menurut kajian itu, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai PM.

Pengarah eksekutifnya Ibrahim Suffian berkata, sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memuji perdana menteri.

Beliau berkata: “69% pengudni di Malaysia merasakan Muhyiddin menjalankan tugas dengan baik sebagai PM manakala 65% masyarakat India dan 33% Cina berpuas hati dengannya.”

Kaji selidik iu dijalankan antara 15 Julai dan 10 Ogos untuk menentukan persepsi terhadap ekonomi, kepimpinan dan isu semasa.

3,415 pengundi berdaftar terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam, 6% Bumiputera bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak) mengambil bahagian dalam kaji selidik itu.

93% daripada responden berpuas hati dengan cara kerajaan menangani pandemik Covid-19 manakala 68% responden bersetuju kerajaan membantu rakyat memerlukan ketika pandemik.– 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen