Cara Putrajaya kendali pandemik Covid-19 dapat pujian, menurut kajian


Alfian Z.M. Tahir

Rata-rata responden kajian Merdeka Centre memuji cara kerajaan mengendalikan situasi pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

KAJI selidik yang dijalankan Merdeka Centre mendapati pengundi di Malaysia berpuas hati dengan cara Putrajaya mengendalikan pandemik Covid-19.

Menurutnya, 93% responden memuji Putrajaya manakala 68% setuju ia membantu golongan memerlukan ketika pandemik.

“93% responden berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.

“Selain itu, 68% dan 61% juga setuju kerajaan membantu mereka yang meerlukan dan menguruskan ekonomi,” kata Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

Kajian itu dijalankan dari 15 Julai hingga 10 Ogos, 2020.

3,415 pengundi berdaftar terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% India, 6% Bumiputera Islam, 6% Bumiputera bukan Islam (dari Sabah dan Sarawak) ditemubual menerusi talian tetap dan telefon bimbit.

Responden dipilih berdasarkan persampelan berstrata secara rawak kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.

53% responden juga mengatakan kerajaan menegakkan kedaulatan undang-undang dan mewujudkan pekerjaan ketika pandemik, 43% pula bersetuju bahawa Putrajaya membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan ketika pandemik.

Bagaimanapun, responden tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam membanteras rasuah.

Pada Mei 2020, 43% responden merasakan kerajaan menjalankan tanggungjawabnya menentang rasuah, namun kadar kelulusan menurun dalam tiga bulan.

“Persepsi prestasi kerajaan dalam membanteras rasuah menurun 5% dalam tempoh 3 bulan, dari 43% kepada 38%,” kata Ibrahim.

Baru-baru ini, bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah dalam kes SRC International.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew juga mengaku tidak bersalah kerana rasuah dalam projek terowong Pulau Pinang.

Perbicaraan kes itu masih diteruskan.– 2 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen