Saya akan terus beri nasihat kepada Umno, kata Ku Li


Minggu lepas, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menggesa semua pemimpin Umno dalam Kabinet Muhyiddin Yassin letak jawatan, nasihat yang tidak disenangi parti Melayu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

TENGKU Razaleigh Hamzah berkata beliau akan terus memberi nasihat kepada Umno kerana itulah tugas yang diberi kepadanya oleh parti.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata apa yang beliau suarakan itu juga adalah isi hati dan pandangan rakyat dan ahli parti di peringkat akar umbi.

“Saya kena jawab sebab dilantik sebagai penasihat, kecuali kalau tak nak bagi saya jadi penasihat lagi, saya boleh berhenti nasihatlah.

“Saya tak kritik, saya ulang saya tak kritik sesiapa. Saya tak campur urusan parti lain, (sebaliknya) saya hanya bagi pandangan ahli Umno yang menemui saya,” katanya, seperti dipetik BH Online di Gua Musang.

Tengku Razaleigh minggu lalu membuat kenyataan meminta pemimpin Umno yang berada dalam kabinet Muhyiddin Yassin supaya melepaskan jawatan masing-masing dengan segera.

Beliau membuat gesaan itu susulan tindakan Bersatu pimpinan Muhyiddin menerima ahli bukan Melayu ke dalam parti, yang baginya menghilangkan kelayakan parti itu sebagai anggota pakatan Melayu Islam dalam Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional sebelum ini disertai dan dibentuk bersama oleh Umno dan PAS.

“Apa guna duduk situ. Itu pandangan orang bawah yang saya sampaikan,” katanya, dipetik BH Online.

Mengulas kenyataan Tengku Razaeligh, Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional Annuar Musa berkata ahli politik veteran itu mungkin terlupa bahawa Umno dan PAS juga mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dalam reaksinya pula berkata pandangan Tengku Razaleigh adalah pandangan peribadi dan bukannya pendirian Umno.

“Namun, kita tetap menghormati pandangan yang dilontarkan beliau, ” katanya.

Pada masa ini, sembilan ahli Parlimen Umno memegang jawatan menteri dalam kabinet Muhyiddin termasuk seorang menteri kanan iaitu Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.

Bersatu minggu lalu mengumumkan kesediaan meminda perlembagaan parti untuk menubuhkan sayap ahli bukan Melayu, ketika ia membuka pintu menerima bekas ahli PKR yang mendukung Mohamed Azmin Ali. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen