Ku Li gesa ahli Umno undur segera dari Kabinet Perikatan 


Tengku Razaleigh Hamzah berkata ahli Umno dalam Kabinet Muhyiddin Yassin perlu berundur dari segera jawatan masing-masing selepas Bersatu mahu menerima ahli bukan Melayu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

PENGERUSI Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan dengan meminta ahli-ahli Umno yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata pengumuman Bersatu dengan sendirinya telah menghilangkan kelayakan parti tersebut sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.

“Kita Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan PN sekarang ditubuhkan pada 29 Feb, atas dasar sokongan beberapa parti politik iaitu Bersatu, Umno dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Penubuhan kerajaan itu berlaku apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP, Bersatu dan Amanah hilang sokongan suara dalam Parlimen berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac dan membentuk kabinetnya pada 10 Mac.

Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional yang dianggotai oleh Umno dan PAS pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Tengku Razaleigh berkata ahli-ahli Umno berkenaan perlu bertindak cepat bagi membolehkan Umno menumpukan perhatiannya kepada penyelesaian masalah golongan muda mencari pekerjaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19.

Seramai sembilan ahli Parlimen dari Umno berada dalam kabinet kerajaan PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh ahli Parlimen dari Umno iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abdul Mutalib, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mastura Mohd Yazid, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainal Abidin. – Bernama, 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen