Tidak ada sesiapa boleh terlepas daripada undang-undang, kata CFM


Julian Leow Beng Kim berkata bahawa setakat ini, belum ada tindakan untuk menasihati Nik Zawawi atas kenyataannya yang dianggap memecah-belahkan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh wajar mendapat kecaman atas ucapannya terhadap kitab Injil kerana tidak seharusnya ada orang yang terlepas daripada undang-undang, kata Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

Ketua CFM Julian Leow berkata partinya, PAS, sebagai anggota kerajaan, harus mengecam tingkah laku, Khairuddin, sementara pihak berkuasa harus menyiasat “tindakannya yang menyinggung agama.”

Liow berkata bahawa setakat ini, belum ada tindakan untuk menasihati Nik Zawawi atas kenyataannya yang dianggap memecah-belahkan masyarakat.

“Adalah keterlaluan jika seorang ahli Parlimen yang duduk di bangku kerajaan, namun tidak memiliki keprihatinan terhadap perlunya membina semula negara namun sebaliknya dengan sengaja mempromosikan perasaan buruk sangka dan permusuhan atas dasar agama dalam masyarakat,” kata Leow dalam satu kenyataan yang mewakili jawatankuasa eksekutif CFM.

“Dengan memperolok firman Tuhan yang suci dan kudus, ahli Parlimen Pasir Puteh menunjukkan rasa tidak hormat bukan hanya pada sesama rakyat Malaysia, dan penganut Kristian bahkan juga atas semua usaha nenek moyang kita dalam menjalin bangsa dengan pelbagai kepercayaan, warna dan budaya sehingga menjadi negara yang cintakan kedamaian dan harmoni,” tambah Leow, menyebut pernyataan Nik Zawawi sebagai “penghinaan yang terbaik”.

Beliau berkata bahawa Nik Zawawi telah “memperlekehkan” kitab suci Kristian dengan kenyataan di Dewan Rakyat minggu lalu bahawa Injil telah dipesong, ketika berbicara mengenai pindaan untuk menaikkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Ahli Parlimen PAS itu membuat kenyataan tersebut ketika menegaskan bahawa semua agama melarang pengambilan alkohol.

Nik Zawawi enggan meminta maaf kepada penganut Kristian dan juga berkata bahawa mereka “tidak berhak” untuk tersinggung sambil menegaskan bahawa pandangannya terhadap kitab Injil adalah benar.

Leow menyifatkan ahli Parlimen PAS “bersikap acuh tak acuh” atas kenyataannya dan keengganannya untuk meminta maaf.

“Penggubal undang-undang ini harus dikecam semua orang yang berfikiran benar,” kata ketua CFM itu lagi.

Beliau berkata CFM terbuka untuk berdialog untuk keamanan dan keharmonian di antara semua masyarakat namun mesti ada rasa hormat dan kerendahan hati terlebih dahulu.

Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) dua hari lalu menuntut Nik Zawawi meminta maaf dan menarik balik kenyataannya. – Bernama, 31 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen